PPBM akur arahan RoS tidak guna nama Armada - Muhyiddin

Bernama
November 17, 2017 22:20 MYT
MUHYIDDIN: Kita akan patuh terhadap apa-apa arahan RoS tetapi saya nak nyatakan daripada sudut hati kita, kita telah laksanakan ikut peraturan-peraturan. - Gambar fail
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan akur terhadap segala arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) termasuk tidak menggunakan nama Armada untuk sayap pemuda parti itu, kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehubungan itu beliau berkata sayap itu akan menggunakan nama Pemuda PPBM sehingga permohonan pindaan perlembagaan parti untuk menggunakan nama Armada diluluskan oleh RoS.
"Majlis pimpinan tertinggi (PPBM) setuju untuk ubah (kepada nama Armada) tetapi kena hantar kepada RoS untuk dapat kelulusan. Sementara tak dapat kelulusan kita guna nama itu (Armada) dulu.
"Sekarang bila kata tak dapat kelulusan tak boleh pakai kita berhenti lah dah, keluar arahan kepada pemuda kita untuk guna Pemuda PPBM, tetapi kita mintak (RoS) untuk kita guna nama Armada dipertimbangan segera," katanya pada sidang akhbar di Pagoh, di sini malam ini.
Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim hari ini dilaporkan sebagai berkata kenyataan jabatan itu berhubung istilah Armada dibuat berdasarkan rujukan perlembagaan PPBM sendiri yang hanya menunjukkan kewujudan istilah 'Pemuda' dan bukannya Armada.
Surayati berkata Armada adalah suatu yang tidak sah serta tidak diiktiraf RoS dan berisiko berdepan tindakan serius ke atas PPBM dan pucuk pimpinan parti termasuk pembatalanpendaftaran parti.
Muhyiddin berkata PPBM akan mengadakan pertemuan dengan RoS dalam masa terdekat bagi mengetahui apa lagi keperluan RoS yang perlu parti itu patuhi.
"Kita akan patuh terhadap apa-apa arahan RoS tetapi saya nak nyatakan daripada sudut hati kita, kita telah laksanakan ikut peraturan-peraturan," katanya.
Ditanya adakah kemelut ini akan menyukarkan PPBM untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14, beliau berkata apa yang penting pada masa ini adalah menyelesaikan permasalahan dengan RoS dan tidak mahu membuat sebarang andaian ke arah itu.
-- BERNAMA
#ARMADA #Jabatan Pendaftar Pertubuhan #Muhyiddin Yassin #pemuda #Perlembagaan #PPBM #ros #Surayati Ibrahim
;