Portfolio Exco Pahang diumum esok - MB

Bernama
Disember 13, 2022 12:22 MYT
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan diumumkan esok. - Gambar fail/BERNAMA
KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan diumumkan esok.
Beliau berkata pelantikan itu dimuktamadkan selepas mengambil kira pelbagai faktor, latar belakang dan bersesuaian dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik sebagai Exco.
"Saya percaya mereka yang diberikan tanggungjawab itu boleh menjalankan tugas sebagaimana ditetapkan portfolio itu nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Pahang Plantations and Commodities Festival and Symposium 2022 dan Pahang Commodities Exhibition of Innovation anda Technology 2022 di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.
Pada 2 Dis lepas, 10 ADUN mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco Pahang di hadapan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abu Bakar, Pekan.
Mereka ialah lapan daripada Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak yang merupakan ADUN Benta, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau), Datuk Mohammad Fakharuddin Mohd Ariff (Bebar), Datuk Mohamad Nizar Mohd Najib (Peramu Jaya), Datuk Seri Johari Harun (Pelangai), Razali Kassim (Muadzam), Datuk Sabariah Saidan (Guai) dan Fadzli Mohamad Kamal (Dong).
Dua lagi Exco adalah daripada Pakatan Harapan (PH) iaitu ADUN Teruntum Sim Chon Siang yang mewakili PKR dan ADUN Triang Leong Yu Man daripada DAP.
Dalam perkara lain, Wan Rosdy berkata kerajaan Pahang sudah memberikan bantuan awal kepada mangsa banjir di negeri itu menerusi agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengulas mengenai program anjuran University College of Yayasan Pahang, Kolej Yayasan Pahang dan kerajaan Pahang itu, Wan Rosdy berkata ia antara lain bertujuan menaik taraf sektor perladangan dan komoditi negeri ini.
Ia juga selari dengan objektif memacu masa hadapan Pahang yang memberi fokus kepada jaminan dan keselamatan makanan melalui pertanian, penternakan, perladangan serta sektor terlibat dengan penghasilan sumber makanan.
-- BERNAMA
#exco pahang #MB Wan Rosdy Wan Ismail #Kerajaan negeri Pahang #ADUN