Portfolio 10 Exco Kerajaan Negeri Selangor diumum Rabu - MB Selangor

Fareez Azman
Ogos 21, 2023 13:52 MYT
Amirudin ditemui media selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-16 di Istana Alam Shah, Klang pada pagi Isnin. - Foto Astro AWANI
KLANG: Portfolio 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor akan dimaklumkan selepas Mesyuarat Exco pertama Rabu ini.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pengumuman itu akan dibuat menerusi satu sidang media selepas beliau mempengerusikan mesyuarat itu.
"Rabu nanti saya akan adakan Mesyuarat Exco pertama dan pada tengah hari saya akan memaklumkan berkenaan portfolio (Exco Kerajaan Negeri) selepas mesyuarat pertama yang akan dibuat pada jam 12 tengah hari.
"Nanti saya akan maklumkan pada hari Rabu, sesuai dengan Mesyuarat Exco pertama, sebahagian (mereka) baharu. Portfolionya sudah ada, biarlah angkat sumpah berlaku dahulu," katanya.
Mengulas mengenai tanggungjawab sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu ketika ADUN pembangkang mendapat 22 kerusi DUN dalam PRN lalu, jelas Amirudin, meskipun gabungan perpaduan tidak mendapat dua pertiga kerusi DUN, namun lebih penting suara rakyat Selangor terus diangkat dalam pentadbiran di bawahnya.
"Setiap masa tugas selaku Exco Kerajaan Negeri dan Menteri Besar memang berat di Selangor tidak kisah kita ada dua pertiga, permintaan rakyat itu tinggi saya rasa semua Exco Kerajaan Negeri kena melaksanakan tugas sebaik mungkin.
"Suara di dalam DUN satu hal, tapi suara rakyat agak kuat, tidak mengira kedudukan akan menyampaikan kritikan dan sebagainya.
"Kita kena menjawab dengan cepat dan tuntas setiap soalan dibangkitkan, jadi pembangkang kuat tak kuat bukan satu isu pertama, kita kena kerja kuat di Negeri Selangor, permintaan rakyat agak tinggi berbanding situasi dan rakyat di negeri lain," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-16 di Istana Alam Shah, Klang pada pagi Isnin.
Terdahulu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tua mengangkat sumpah Menteri Besar Selangor ke-16 di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kira-kira jam 11.00 pagi Isnin.
Majlis istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji itu turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan pembesar-pembesar negeri.
Manakala Istiadat Angkat Sumpah Exco Kerajaan Negeri Selangor pula akan diadakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah pada jam 2 petang Isnin.
#Menteri Besar Selangor #Amirudin Shari #Exco Selangor
;