Portal 'theRakyat' perkasa kejujuran BN

Bernama
Januari 4, 2018 04:12 MYT
Portal theRakyat mempunyai tujuh segmen utama iaitu wawancara, majalah, analisis, 'e-rakyat', maklumat grafik, rakaman video dan manifesto BN serta dilengkapi beberapa ciri terkini dan digital.
theRakyat, portal rasmi Barisan Nasional (BN) yang dibangunkan bermatlamat menyebarkan maklumat yang sahih, tepat dan cepat mengenai segala usaha kerajaan untuk pembangunan rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K. Devamany berkata portal berkenaan juga menjelaskan kepada rakyat program dan strategi yang sedang dan akan dilaksanakan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Pelancaran portal therakyat.com semalam jelas menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan kepimpinan BN sudah bersedia menangani persepsi buruk yang diuar-uarkan akibat berita palsu yang direka pihak pembangkang," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
BACA: 'The Rakyat' tangkis berita palsu untuk BN
"Amat jelas pembangkang berpolitik menggunakan kaedah hasutan secara tidak bertanggungjawab melalui pelbagai fitnah dan maklumat putar belit. Pencemaran minda kotor sebegini adalah semata-mata untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan," katanya lagi.
Portal theRakyat mempunyai tujuh segmen utama iaitu wawancara, majalah, analisis, 'e-rakyat', maklumat grafik, rakaman video dan manifesto BN serta dilengkapi beberapa ciri terkini dan digital supaya mesej yang disampaikan lebih dinamik dan menarik.
Portal yang menggunakan slogan 'Dahulukan Rakyat' itu akan memaparkan profil dan maklumat mengenai calon BN yang akan bertanding pada PRU14, selain menjadi platform untuk rakyat mengetahui rancangan dan janji BN untuk Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #berita palsu #e-rakyat #Najib Razak #pilihan raya #PRU14 #S K Devamany #theRakyat
;