Portal myKMU.net dakwa miliki bukti komplot mahu jatuhkan Najib
Astro Awani
April 25, 2015 08:11 MYT
April 25, 2015 08:11 MYT
Selepas lima pemimpin Pemuda UMNO menafikan dakwaan terlibat dalam komplot menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak, portal myKMU.net pada Jumaat mendakwa memiliki bukti wujudnya gerakan tersebut.
Portal tersebut mendakwa telah melihat salinan laporan yang dihantar kepada Perdana Menteri berhubung komplot yang didalangi pemimpin Pemuda UMNO itu.
"Sebenarnya MYKMU telah melihat salinan laporan yang akan dihantar kepada Perdana Menteri dan mempunyai sumber yang boleh dipercayai untuk mengesahkan laporan tersebut," lapor myKMU.net.
myKMU.net gesa tindakan disiplin dikenakan terhadap lima pemimpin Pemuda UMNO yang merancang jatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak
Portal itu turut mencabar kelima-lima pemimpin Pemuda UMNO itu supaya membuat laporan polis jika dakwaan itu tidak benar.
"Mungkin jalan terbaik untuk lima sekawan ini membersihkan nama mereka ialah dengan membuat laporan polis agar satu siasatan yang jelas dapat dijalankan," lapor portal itu lagi.
Laman tersebut juga menggesa supaya Lembaga Disiplin parti bertindak menyiasat kebenaran tuduhan yang dibuat ke atas pemimpin Pemuda itu.
"Dakwaan sekumpulan lima pemimpin Pemuda UMNO berkomplot untuk menjatuhkan presiden dengan menghasut pemimpin Pemuda bahagian, terutama dari negeri Johor, wajar mendapat perhatian dan tindakan susulan dari Lembaga Displin," lapor myKMU.net.
Portal itu sebelum ini mendakwa satu komplot menjatuhkan Najib dijalankan oleh lima pemimpin Pemuda UMNO diketuai oleh naib ketuanya, Khairul Azwan Harun.
Selain Khairul Azwan atau lebih dikenali sebagai Azwan Bro, empat exco pemuda UMNO yang dikatakan turut terlibat ialah Armand Azha Abu Hanifah, Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A Rahman, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi dan dan Penolong Setiausaha Pemuda Barisan Nasional Datuk Mohamed Shafri Abd Aziz.
Lima pemimpin Pemuda UMNO itu didakwa menghasut Ketua Pemuda UMNO Johor dan pemimpin Pemuda UMNO bahagian supaya menjatuhkan Najib dalam satu mesyuarat di Rompin pada Rabu lalu.
Pertemuan itu sepatutnya diadakan bagi membincangkan strategi bagi menghadapi kempen pilihan raya kecil parlimen Rompin.
Dalam pertemuan itu, Azwan seterusnya didakwa melahirkan rasa tidak percaya dengan satu penjelasan Najib semasa pertemuan bersama Pemuda UMNO minggu lalu.
Portal itu turut menggesa supaya Lembaga Disiplin parti bertindak menyiasat kebenaran tuduhan yang dibuat ke atas pemimpin Pemuda itu.
Dalam satu kenyataan media semalam, Armand menafikan laporan myKMU.net dan menegaskan mesyuarat tersebut hanya membincangkan isu yang perlu dijawab sepanjang kempen pilihan raya kecil Rompin dan Permatang Pauh.