Porfolio exco baharu diumum Rabu ini - Mohamed Azmin
Bernama
September 30, 2014 08:07 MYT
September 30, 2014 08:07 MYT
Portfolio bagi 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang baharu dilantik diumumkan Rabu ini, kata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.
Katanya, portfolio itu akan ditentukan setelah mengambil kira kemampuan dan kepakaran setiap Exco, agar tanggungjawab yang diberikan dapat dijalankan dengan berkesan.
"Portfolio itu akan diberikan Rabu ini dan kami juga mahu memastikan anggota Exco akan berkhidmat dengan lebih cekap dan berkesan," katanya.
Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan sempena Ulang tahun Hari Keputeraan ke-68 Sultan Selangor Tahun 2013 pada Isnin.
Dalam komposisi barisan exco yang diumum Azmin Jumaat lepas, PKR mendapat empat jawatan Exco manakala PAS dan DAP, masing-masing tiga.
Tujuh anggota Exco yang dilantik merupakan mereka yang telah berkhidmat di bawah pentadbiran bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.