Politik tidak akan stabil selagi Melayu tak bersatu - Annuar

Sinar Harian
September 6, 2023 10:15 MYT
Annuar berkata, negara ini akan selamat jika orang Melayu ubah cara berpolitik daripada berpuak dan berpecah, sebaliknya berpakat serta bersatu. - Foto fail/BERNAMA
MUAR: Kestabilan politik negara hanya akan dapat dicapai apabila semua parti politik Melayu bersatu, kata Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, ini kerana Melayu sebagai kaum majoriti mesti menjadi teras atau tapak utama dalam landskap politik Malaysia yang mempunyai kuasa dominan.
"Kalau kita tidak susun negara yang orang Islam majoriti, orang Melayu majoriti, bumiputera majoriti, tapi kamu sudah berpecah belah macam mana negara nak aman. Kena jujur dalam soal ini.
"Orang Cina, orang India kena terima hakikat bahawa negara ini tidak boleh diamankan dengan bawa politik orang Cina bersatu tapi pecah belahkan Melayu.
"Ada parti yang bawa ideologi seperti ini. Main sentimen orang Cina supaya Cina bersatu, kemudian nak perintah cari jalan supaya orang Melayu berpecah belah. Politik ini tidak menguntungkan sesiapa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Kelompok Perikatan Nasional di Unit Daerah Mengundi (UDM) 5 Haji Abdullah Selatan di Pusat Asuhan Tunas Islam Ar-Raihan, Bakri di sini pada malam Selasa.
Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung BN dan UMNO berkata, negara ini akan selamat jika orang Melayu ubah cara berpolitik daripada berpuak dan berpecah, sebaliknya berpakat serta bersatu.
Jelasnya, ini bukan bermakna semua orang Melayu dan bumiputera perlu berada dalam satu parti politik untuk merealisasikan hasrat itu.
"Kalau nak masuk apa parti politik pun masuklah, tapi malangnya masih ramai pemimpin politik mengutamakan perpecahan bagi nak capai matlamat masing-masing, bukan matlamat agama.
"Kalau nak bersatu padu bukan payah, patutnya kitalah yang paling mudah, kiblat satu, ALLAH satu, al-Quran satu, rasul satu. Paling mudah. Ini tidak, orang yang ada panduan Islam, orang lain (penganut agama lain) saya tak tahu, tapi Islam ni ada panduan dia," katanya.
Tegasnya, banyak ayat dalam al-Quran yang meminta umat Islam supaya tidak berpecah tetapi ramai yang tidak mahu ikut termasuk di negara Islam lain sehingga berlaku pembunuhan sesama Islam kerana tidak faham dengan tuntutan sebenar kitab suci itu.
"Sepatutnya silaturahim kita kena jaga, takkan kita nak bergaduh selamanya. Orang Melayu dan Islam mesti ambil tanggungjawab untuk bersatu dengan politik-politik yang pelbagai mendatang.
"Walaupun politik berpecah, saya lihat masih berpadu walaupun pemimpin menukar haluan, tidak melaksanakan mandat yang diberikan, lain diundi lain yang dapat, tapi rakyat kekal utuh tidak terpedaya.
"Walaupun rakyat kadangkala berdepan ugutan kuasa oleh orang yang berkuasa tapi ia tidak menghalang rakyat untuk beristiqamah menyatakan pendirian politik secara tuntas seperti yang kita lihat dalam pilihan raya umum negeri baru-baru ini. Kita masih boleh bersyukur dalam negara kita ini proses demokrasi yang berjalan menunjukkan kuasa dan kebijaksanaan rakyat tetap terserlah dan masih ada harapan untuk hari esok bagi negara kita," katanya.
Tambahnya, pemimpin politik Melayu perlu merenung sebab berada dalam kancah politik sama ada hanya mahu merebut jawatan dan mahu berpuak atau memperbaharui tekad dengan politik berlandaskan Islam. - Sinar Harian
#kestabilan politik #Annuar Musa #Melayu #kuasa dominan
;