Politik Sabah: Usul percaya terhadap Hajiji boleh berlaku sekiranya ada pihak memohon - Syahruddin

Fareez Azman
Januari 8, 2023 16:31 MYT
Terpulang kepada Hajiji sama ada ingin mengabsahkan kepimpinannya atau tidak dalam sidang khas DUN itu. - Fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Usul percaya terhadap keabsahan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor boleh dibawa dalam Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) pada 10 Januari ini.
Menurut Penganalisis Kajian Pilihan Raya dan Geopolitik Borneo Universiti Malaysia Sabah (GeoPES UMS), Dr Syahruddin Awang Ahmad, bagaimanapun ia terpulang kepada pihak yang memohon usul berkenaan dibawa.
"Kemungkinan besar antara perkara diusulkan undi percaya atau tidak percaya, seperti mana di Dewan Rakyat, tempoh tertentu diperlukan untuk permohonan usul tersebut.
"Sama ada ini telah dilakukan oleh pihak Warisan, Barisan Nasional (BN) atau pihak lain dalam kerajaan Negeri Sabah atau parti pembangkang, kita tidak tahu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Tambah Syahruddin, sekiranya usul tersebut diterima, maka Sidang Khas DUN itu akan dibuka dengan usul tersebut.
"Jika diterima usul tersebut, kemungkinan besar sidang DUN itu dibuka dengan usul percaya atau tidak percaya kepada Ketua Menteri untuk mengemukakan sokongan penuh sebagai keabsahan beliau selaku Ketua Menteri dan ketua kerajaan negeri," ujarnya lagi.
Pantau Kerajaan Baharu: Kemelut Politik Sabah | Sampai bila mahu selesai?
Bagaimanapun jelasnya, ia terpulang kepada Hajiji sama ada ingin mengabsahkan kepimpinannya atau tidak dalam sidang khas DUN itu.
"Sebab itu ada ura-ura undi usul percaya di DUN, ini satu persoalan sama ada berani atau tidak Datuk Seri Hajiji ingin mengadakan sidang tergempar DUN untuk mengadakan sesi tersebut untuk menunjukkan beliau mempunyai majoriti," katanya lagi.
Sidang Khas DUN Sabah akan datang bakal menyaksikan pembentangan usul bagi menerima penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Sabah daripada Kerajaan Persekutuan.
#Sabah #Sidang Dewan Khas DUN #Hajiji Noor
;