Politik Sabah: Shafie Apdal batalkan sidang media
Assim Hassan
Januari 5, 2023 20:05 MYT
Januari 5, 2023 20:05 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan tidak akan mengadakan sidang media hari ini.
Ketika dihubungi Astro AWANI, Mohd Shafie tidak mendedahkan alasan ia dibatalkan.
Terdahulu, satu jemputan media diedarkan bagi memaklumkan mengenai sidang media Presiden Warisan itu.
Sidang media itu dipercayai untuk mengumumkan mengenai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Semalam Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji masih menerima perakuan dan sokongan daripada majoriti besar ADUN Sabah untuk terus memimpin kerajaan negeri sekarang.
Ia termasuk kesemua tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah.
GRS katanya, sedia membuktikan keabsahan sokongan adun sabah kepada Hajiji Noor.
Sehubungan itu, Masidi menegaskan suasana dan kedudukan politik di Sabah kekal stabil dan selamat untuk urusan perniagaan dan pelaburan.
Kenyataan ini rentetan dakwaan pihak tertentu yang mendakwa mereka memperoleh sokongan lebih separuh ADUN Sabah untuk membolehkan mereka menubuhkan kerajaan negeri baharu.