Politik Sabah: Rina Jainal keluar Warisan
Abdul Hafiz Mustadi
Jun 5, 2022 16:19 MYT
Jun 5, 2022 16:19 MYT
KOTA KINABALU: Suhu politik di negeri Sabah kembali hangat susulan tindakan seorang lagi wakil rakyat pembangkang dari Parti Warisan Sabah (Warisan) bertindak keluar parti itu, pada hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 70 Kukusan, Rina Jainal merupakan wakil rakyat terbaru berbuat demikian dan menyatakan hasrat untuk menyokong pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam satu sidang media khas yang diadakan di Kota Kinabalu petang tadi, beliau yang juga Naib Wirawati Warisan bagaimanapun menyatakan, tindakan keluar parti tersebut adalah berdasarkan kerelaannya sendiri dan tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak.
"Saya mengambil tindakan keluar parti dan berhasrat untuk menyokong kepimpinan GRS/BN yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji.
"Bagaimanapun, saya tetap berterima kasih dengan semua pimpinan, akar umbi Warisan yang menjadikan saya seorang ahli politik dan wakil rakyat, namun perjuangan demi rakyat saya tetap teruskan biar berlainan platform.
"Saya juga ingin menyampaikan, bahawa tindakan saya ini tidak dipengaruhi mana-mana pihak dan tiada perselisihan antara saya dan pimpinan Warisan sebelum ini. Cuma tindakan ini saya kira atas faktor rakyat di kawasan saya wakili, dengan hanya GRS sahaja dapat membangunkan ekonomi setempat setakat ini," katanya.
Untuk rekod, Rina merupakan wakil rakyat keenam selepas beberapa lagi ADUN dari Warisan seperti Hassan Awg Ghani Pg Amir, Datuk Yusuf Yacob, Datuk Mohamadin Ketapi, Datuk Peter Anthony dan Datuk Juil Nuantim bertindak keluar parti itu pada tahun lalu.
Terdahulu, dalam sidang media yang diadakan bersama pihak Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan dipengerusikan oleh Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah itu turut mendedahkan, parti itu menyokong kepimpinan GRS.
Jelas Yun Fah, Rina sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan pihaknya selain menyatakan hasrat untuk menyertai Harapan Rakyat.
"YB Rina ada bertemu dengan kami dan dalam masa sama juga berhasrat menyertai parti Harapan Rakyat Sabah.
"Untuk makluman, parti ini telah lama berada di dalam senario politik Sabah dan ia merupakan satu platform yang baik tepat untuk memperjuangkan agenda negeri dan nasional," katanya.