Politik Sabah: 'Permainan masih berlangsung' - Bung Moktar

Abdul Hafiz Mustadi
Januari 8, 2023 21:10 MYT
Bung Moktar berkata, Hajiji telah memanipulasi sokongan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN untuk menyokongnya sebagai Ketua Menteri. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Pergolakan politik Sabah belum berakhir apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan, ia hanya akan diselesaikan dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Permainan masih berlangsung. Kami menunggu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri datang ke Sabah esok. Dia akan bertemu dengan kami (BN), Parti Warisan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Kita akan berbincang," kata Bung ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) petang Ahad.
Politik Sabah | Zahid yakin terdapat formula selesaikan kemelut
Mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengesahkan sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk meneruskan pentadbiran kerajaan negeri, Bung enggan mengiktiraf perkara tersebut.
Beliau mendakwa, Hajiji telah memanipulasi sokongan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN untuk menyokongnya sebagai Ketua Menteri.
"Saya tidak tahu. Yang saya tahu kerajaan tidak ada sebab kerajaan ini ditubuhkan sama-sama. Jadi apabila tarik diri, kita bukan berhenti, kita tarik diri. Bermakna Ketua Menteri pun tidak ada.
"Tentu sekali dia ada 44 sokongan ADUN. Dia rosakkan orang-orang saya. Tetapi tidak mengapa. Permainan masih berlangsung. Kami menunggu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri datang ke Sabah esok," kata Bung.
Anwar dijangka tiba di Kota Kinabalu pada Isnin malam bagi menyelesaikan kemelut politik di Sabah membabitkan BN dan GRS.
Sementara itu, difahamkan Zahid yang juga Presiden UMNO, akan tiba di Sabah Isnin malam.
#Politik Sabah #Bung Moktar Radin #belum berakhir #Anwar Ibrahim
;