Politik Sabah: Pergolakan belum selesai - Bung Moktar

Hasimi Muhamad
Januari 13, 2023 13:30 MYT
Bung Moktar menyeru agar semua ahli UMNO di Sabah supaya bertenang, sepertimana yang diminta Presiden Ahmad Zahid. - Foto/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: UMNO Sabah menegaskan pergolakan politik yang berlaku di negeri itu masih belum selesai meskipun kabinet baharu telah dibentuk.
Bagaimanapun, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau percaya sebarang kemelut akan dapat dinoktah kerana UMNO memiliki kepakaran dalam menyelesaikan krisis politik.
Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menyeru agar semua ahli UMNO di Sabah bertenang, sepertimana yang diminta oleh Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Memang (krisis) politik ini tak boleh selesai, walaupun di Sabah sudah tenang tetapi pergolakannya masih belum selesai.
"Sebab, pembentukan kerajaan negeri pada peringkat awal adalah daripada UMNO dan Perikatan Nasional (PN). Ini menjadi satu persoalan.
"Jadi, tak apa. Orang mahu komen politik, kita main politik," katanya kepada pemberita selepas Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Pada 11 Jan lalu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag digugurkan daripada Kabinet Negeri Sabah selepas pembentukan jemaah menteri baharu.
ADUN Tanjung Keramat Datuk Shahelmey Yahya menggantikan beliau sebagai Menteri Kerja Raya, merangkap Timbalan Ketua Menteri III Sabah mewakili kuota BN-UMNO.
Turut digugurkan ialah Datuk Yakub Khan yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, digantikan dengan Datuk Mohd Ariffin Arif.
Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, tindakan beliau dan beberapa pimpinan UMNO Sabah menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini tidak boleh disifatkan sebagai penggulingan.
Sebaliknya, tegas beliau, gerakan yang dilakukan adalah bagi membetulkan hala tuju politik di negeri berkenaan.
"Mengguling ini berniat jahat, tetapi tujuan kita ini adalah untuk membetulkan hala tuju politik, agar rakyat dan Sabah itu menjadi sebuah negeri yang mampu untuk dibangunkan.
"Mengguling ini maknanya membinasakan, jadi mesti ada definisi berbeza. Kita tidak pun menggulingkan. Apa yang kita buat adalah untuk menentukan nasib rakyat Sabah itu mendapat tempat yang sebenarnya oleh pemerintahan pada ketika ini," kata Bung Moktar lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO Sabah akan cuba berfungsi sebagai sebuah parti yang bermaruah.
Bung Moktar dan beberapa ADUN BN ketika ini berada di blok pembangkang selepas tidak lagi menyokong kepimpinan Hajiji.
#Bung Moktar Radin #PAU2022 #Hajiji Noor #Politik Sabah
;