Politik Sabah: Joachim tempelak Shafie tentang Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri

Mirlen Axtius
Januari 7, 2023 19:44 MYT
Menurutnya, jelas sekali Mohd Shafie mendapat fakta salah dan tidak memahami bagaimana perjalanan Perlembagaan Negeri Sabah.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Joachim Gunsalam menempelak Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya mendapatkan nasihat undang-undang yang betul sebelum mengulas mengenai penggunaan Artikel 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang itu lagi, kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah mengatakan bahawa Perkara 6(7) hanya terpakai jika; sejurus selepas pilihan raya negeri dan sebuah parti politik memenangi lebih daripada 50 peratus kerusi yang dipertandingkan.
Menurutnya, jelas sekali Mohd Shafie mendapat fakta salah dan tidak memahami bagaimana perjalanan Perlembagaan Negeri Sabah.
"pada 2020 selepas Pilihan Raya Negeri Sabah, tiada satu parti politik yang menang lebih 50 peratus daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan. Oleh itu, Artikel 6(7) tidak terpakai.
"Sehubungan itu, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menggunakan budi bicara di bawah Artikel 6(3) dan memperkenan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, jika Shafie beranggapan Tun Juhar salah pada tahun 2020 memperkenan Hajiji (sebagai Ketua Menteri), ADUN Senallang perlu membawa Tun Juhar ke mahkamah dan mempertikaikan kes itu pada tahun tersebut.
Sebaliknya, tambah Joachim, Shafie tidak melakukan perkara itu kerana tahu Tun Juhar bertindak dengan tepat apabila memperkenan Hajiji sebagai Ketua Menteri.
"Sehingga hari ini, Hajiji yang merupakan pengerusi GRS mendapat majoriti ADUN Sabah.
"Perkara 6(7) tidak terpakai sama sekali hari ini kerana tiada pilihan raya negeri. Pilihan raya negeri seterusnya ialah pada 2025. Itulah undang-undang," katanya.
#Joachim Gunsalam #Perlembagaan Sabah #Politik Sabah #pilihan raya negeri
;