Politik Sabah: "Jangan risau, rezeki tak salah alamat" - Mesej Ahmad Zahid kepada pemimpin UMNO Sabah
Hasimi Muhamad
Januari 13, 2023 11:38 MYT
Januari 13, 2023 11:38 MYT
KUALA LUMPUR: Di sebalik pergolakan politik yang berlaku di Sabah, UMNO menegaskan, parti itu terus menyokong kepimpinan dan akar umbi di Negeri Di Bawah Bayu itu.
Menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022), Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti akan sentiasa mendukung strategi UMNO Sabah meskipun pemimpin parti di negeri berkenaan tidak lagi memiliki jawatan dalam kerajaan negeri.
Selain Sabah, Ahmad Zahid turut menzahirkan pendirian sama untuk terus mengukuhkan hubungan politik dengan Sarawak.
"Dengan itu, apa pun bentuk kerajaan Malaysia pada masa sekarang dan masa hadapan, UMNO tetap memilih untuk bersama-sama dengan rakan-rakan politik dari wilayah berkenaan demi kestabilan Malaysia.
"Malah apa yang berlaku muktakhir ini di Sabah, saya ingin membuat penegasan bahawa UMNO Pusat akan tetap bersama dengan UMNO Sabah.
"Kita akan mendukung citra dan juga strategi UMNO Sabah. Kepada YB (Yang Berhormat) Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Yakub Khan, kedua-dua orang ini kehilangan jawatan. Tetapi jangan risau, Insya-Allah rezeki tidak pernah salah alamat.
"Dokongan kita tidak berbelah bahagi kepada semua Ketua-Ketua UMNO Sabah yang ada dalam dewan ini, kepada Wanita, Pemuda dan Puteri Sabah, kita ucapkan selamat kepada mereka yang datang dari Sabah. Insya-Allah jangan risau," katanya ketika dalam ucapan berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
BERITA LANJUT MENYUSUL