Politik Sabah: Hajiji sudah tiada lagi majoriti - KDM
Astro Awani
Januari 6, 2023 00:11 MYT
Januari 6, 2023 00:11 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Kesejahteraan Demoktratik Masyarakat (KDM) menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman sudah tidak lagi mempunyai majoriti yang cukup sebagai Ketua Menteri Sabah.
Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, ia merujuk kepada Perkara 6(3) dibaca dengan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah, yang menyatakan bahawa Ketua Menteri sebagai Ketua Parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-16 tahun 2020.
Sehubungan itu, menurutnya, di bawah Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah, Hajiji hendaklah meletakkan jawatan serta-merta.
“KDM menyerahkan keputusan kepada kebijaksanaan dan budi bicara Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin untuk memutuskan pelantikan Ketua Menteri Sabah yang baharu berdasarkan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat malam.
Selain Peter sebagai ADUN Melalap, KDM mempunyai dua lagi ADUN iaitu Datuk Wetrom Bahanda (Bandau) dan Juil Nuatim (Limbahau).
Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Bung Moktar dalam satu sidang media di Kota Kinabalu telah menetapkan penarikan sokongan terhadap Hajiji.
Sehubungan dengan itu, Bung Moktar berkata, 17 ADUN Barisan Nasional turut sama menolak kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Dalam sidang media itu, Bung Moktar turut menegaskan tindakan disiplin dan tegas akan diambil ke atas mana-mana ADUN BN yang ingkar dengan keputusan parti.