Politik Sabah: Hajiji sahkan akan berlaku rombakan Kabinet negeri
Astro Awani
Januari 6, 2023 17:45 MYT
Januari 6, 2023 17:45 MYT
KUALA LUMPUR: Di sebalik dakwaan berlaku pergolakan politik, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengesahkan akan berlaku rombakan Kabinet negeri itu.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan ringkas sebentar tadi.
Jelas Hajiji, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, butiran berhubung perkara itu didedahkan dalam masa terdekat.
Rombakan itu juga dipercayai susulan cubaan 'rampasan kuasa' yang didakwa didalangi oleh Parti Warisan (Warisan) dan sebahagian pimpinan Barisan Nasional (BN) Sabah gagal pada Khamis.
Menurut sumber dalaman, rombakan itu dijangka menyaksikan beberapa ahli kabinet BN digugurkan daripada jawatan dan digantikan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH) Sabah.
Nama-nama yang turut disebut akan digugurkan antaranya Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Menteri Pelancongan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Jafry Ariffin.
Terdahulu, pertemuan pimpinan UMNO Sabah di pejabat parti itu pada khamis didakwa bagi membincangkan perkembangan kerjasama dengan Warisan.
Namun, Bung menafikan perkara tersebut dengan mengatakan bahawa ianya sekadar pertemuan biasa dalam kalangan pimpinan parti.
Pada masa sama juga, sidang media Warisan yang dijadualkan pada jam 4.30 petang di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu pada hari yang sama juga turut dibatalkan.
Ketika ini, Kabinet Sabah dibarisi oleh 11 menteri termasuk Ketua Menteri dan 18 pembantu menteri.