Politik Sabah: Hajiji disaran tubuh parti baharu ganti GRS

Afiezy Azaman
Januari 12, 2023 11:45 MYT
Penganalisis politik berpandangan, adalah wajar Hajiji menubuhkan satu parti politik baharu menggantikan GRS untuk memastikan Kerajaan Sabah pimpinannya dapat bertahan sehingga akhir penggal. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat telah menjadi satu polemik yang mengundang kontroversi kepada keabsahan dan kredibiliti Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
Atas sebab itu Penganalisis Kajian Pilihan Raya dan Geopolitik Borneo Universiti Malaysia Sabah (GeoPES UMS), Syahruddin Awang Ahmad berpandangan, adalah wajar Hajiji menubuhkan satu parti politik baharu menggantikan GRS untuk memastikan Kerajaan Sabah pimpinannya dapat bertahan sehingga akhir penggal.
“GRS ini seolah-olah dah jadi satu polemik dalam kebanyakan orang yang menguji kredibiliti dan kemampuan Hajiji sebagai Ketua Kerajaan Negeri, mungkin diwujudkan satu pakatan lain yang lebih segar yang tidak menggambar siapa Hajiji sebelum ini dalam GRS tetapi sekarang adalah Hajiji yang baharu.
“Ini juga boleh didaftarkan terus sebagai parti politik sebagaimana Barisan Nasional (BN) dan bukan lagi gabungan parti untuk membolehkan kerajaan yang ada sekarang dapat menghabiskan tempoh penggal yang terakhir.
“Mereka juga boleh menjemput semua pihak termasuk bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masuk ke dalam parti politik ini yang sudah tentu dapat membenteng lebih banyak dugaan yang dilalui dalam tempoh terdekat ini,” katanya kepada Astro AWANI dalam Program Pantau Kerajaan Baharu, pada Khamis.
Antara cadangan lain untuk mengekalkan kestabilan Kerajaan Negeri Sabah, Syahruddin turut berpendapat, kelima-lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri dijemput untuk menyertai GRS secara rasmi.
Jelasnya, ini bagi mengukuhkan Kerajaan Negeri Sabah sedia ada selain meyakinkan kelima-lima pemimpin BN itu bahawa kedudukan mereka di dalam Kerajaan Negeri adalah selamat walaupun kemungkinan berdepan dengan tindakan Lembaga Disiplin UMNO.
Sebelum ini, lima ADUN daripada BN Sabah itu tidak mengikut telunjuk Pengerusi BN Sabah yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk menamatkan kerjasama membentuk kerajaan negeri Sabah yang dimeterai sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.
Mereka terdiri daripada Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk)
Selain itu, Syahruddin berpendapat, Akta Anti Lompat Parti perlu dibentangkan sesegera mungkin oleh Kerajaan Negeri Sabah bagi mengekalkan kestabilan politik sehingga akhir penggal.
Kata beliau, tindakan itu juga mampu membawa imej baharu yang lebih segar kepada Kerajaan Negeri yang akan dilihat lebih berkredibiliti dan stabil.
“Akta Anti Lompat Parti ini penting di negeri Sabah dan sebagaimana semua orang tahu, Sabah terkenal dengan lompat-melompat dan penting untuk dibentangkan bukan untuk tujuan mencegah tetapi lebih kepada mendidik pemimpin masa depan. Ini supaya melihat politik bukan untuk dimanipulasi atau meraih peluang tetapi politik adalah tentang tanggungjawab.
“Apabila akta ini dibentangkan secepat-cepatnya oleh Hajiji, ia boleh mengelakkan politik ini dinamiknya ke arah yang lebih negatif dan mengubah sekali gus landskap dan percaturan politik yang pada awalnya lebih bersifat ideologikal.
“Penting juga akta ini diwujudkan untuk menentukan bahawa label dan wajah baharu Kerajaan Negeri Sabah yang diberikan mandat oleh rakyat ini adalah benar-benar kerajaan yang berkredibiliti dan boleh bertanggungjawab ke atas rakyat negeri Sabah,” ujar beliau lagi.
#Hajiji Noor #Ketua Menteri #Bung Moktar Radin #Politik Sabah
;