Politik Sabah: Bung Moktar digugurkan dari kabinet
Abdul Hafiz Mustadi
Januari 11, 2023 11:39 MYT
Januari 11, 2023 11:39 MYT
KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sah digugurkan daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Kerja Raya.
Jawatan Timbalan Ketua Menteri I kini disandang oleh Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan dengan mengekalkan jawatan Menteri Pertanian dan Perikanan yang dipegang beliau sebelum ini.
Menggantikan Bung sebagai Menteri Kerja Raya ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat Datuk Shahelmey Yahya yang turut menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri III Sabah mewakili kuota UMNO/Barisan Nasional (BN).
Turut digugurkan daripada kabinet, Datuk Yakub Khan yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, digantikan dengan Datuk Mohd Ariffin Arif.
Sementara itu, portfolio Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang disandang oleh Datuk Jafry Ariffin sebelum ini kini digantikan oleh Datuk Christina Liew.
Terdahulu hari ini, majlis angkat sumpah jawatan ahli-ahli jemaah menteri Sabah diadakan di Istana Seri Kinabalu.
Antara nama lain yang terlibat ialah Datuk Seri Joachim Gunsalam (Timbalan Ketua Menteri ll merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ), Datuk Seri Masidi Manjun (Menteri Kewangan), Datuk Jahid Jahim (Menteri Pembangunan Luar Bandar), Datuk Ellron Angin (Menteri Belia dan Sukan), Datuk James Ratib (Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat) dan Phoong Jin Zhe (Menteri Pembangunan Perindustrian).
Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan rombakan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah, menyaksikan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dilantik Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan negeri.
Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam pula dilantik Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.