Politik Perak: UMNO, BN tidak tolak kemungkinan penjajaran baharu - Ahmad Zahid
Harits Asyraf Hasnan
Disember 6, 2020 12:02 MYT
Disember 6, 2020 12:02 MYT
IPOH: UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan berlaku penjajaran baharu di Perak seiring krisis politik yang melanda negeri ini.
Bagaimanapun, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau berharap kerajaan yang ada di bawah kepimpinan Menteri Besar yang lalu dapat dikekalkan.
"Namun, kita tahu kenyataan Setiausaha Agung Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), jadi satu pendekatan akan diambil oleh UMNO dan BN bagi menentukan pembentukan kerajaan baharu.
"Tetapi ia akan mengambil kira semua pertimbangan politik agar kerajaan yang akan terbentuk merupakan kerajaan yang lebih kukuh dukungannya.
"Oleh itu, saya akan kemukakan cadangan nama kepada Sultan Perak untuk perkenan Tuanku dan Tuanku yang akan tentukan secara mutlak.
"Kerana, itu kuasa Tuanku sepenuhnya bagi menentukan siapa yang akan diperkenankan sebagai Menteri Besar Perak yang baharu,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Istana Kinta di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selama hampir satu jam bagi menyembah maklum situasi terkini politik dan pendirian UMNO dalam krisis yang berlaku.
Pada Jumaat, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu telah menetapkan untuk tidak menyertai usaha pembentukan Kerajaan Negeri Perak yang baharu.
Pada masa sama, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya kesal berhubung situasi yang berlaku dalam di Perak.
Ahmad Zahid berkata, UMNO dan BN akan melihat segala kemungkinan yang ada, termasuk bekerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).
"Kita akan lihat semua kemungkinan. Seboleh mungkin kita kekalkan jajaran terdahulu, tetapi kalau itu kita tidak dapat lakukan, tentu ada penyesuaian yang harus dilakukan untuk penjajaran yang baharu.
"Semua kemungkinan akan ada (kerjasama dengan PH). Itu tertakluk kepada keputusan muktamad oleh pihak parti," ujarnya.
Ditanya sama ada beliau telah berbincang dengan parti lain bagi menentukan gabungan kerajaan baharu di Perak, ini jawabnya:
"Saya telah hadiri Mesyuarat Perhubungan UMNO malam tadi, saya bertemu semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang mewakili UMNO.
"Dan, perbincangan dengan parti-parti lain di negeri Perak telah diadakan oleh pemimpin-pemimpin UMNO and BN Perak. Manakala saya akan adakan perbincangan di peringkat pusat," katanya.
Ujarnya, setelah ia dapat dimuktamadkan, UMNO akan mengemukakan nama calon Menteri Besar Perak yang baharu.
Kemelut politik negeri ini bermula selepas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti ADUN dalam usul keyakinan terhadap menteri besar yang dikemukakan pada sidang DUN, Jumaat lepas.
Dalam undian sulit yang dijalankan, Ahmad Faizal yang juga yang juga Timbalan Presiden Bersatu dan ADUN Chenderiang, hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.
DUN Perak merangkumi 25 ADUN BN yang kesemuanya daripada UMNO, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan Pas (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.
#Zahid Hamidi
#Barisan Nasional
#PAS
#UMNO
#Pakatan Harapan
#Sultan Perak
#Menteri Besar
#ADUN
#politik perak
#Ahmad Zahid Hamidi
#penjajaran baharu politik
#krisis politik
#calon MB
#jajaran baharu