Politik Perak: Tumpuan beralih, mesyuarat parti-parti di Kuala Lumpur

Harits Asyraf Hasnan
Disember 7, 2020 10:31 MYT
Tidak banyak pergerakan di perkarangan Istana Kinta di Ipoh pagi ini. - Astro AWANI
IPOH: Tidak seperti sejak Jumaat lalu, kesibukan media yang berkampung di perkarangan Istana Kinta di sini berbeza hari ini.
Tiada polis yang mengawal lalu lintas, tiada media yang berpanas menunggu perkembangan terkini.
Ia selepas tumpuan kini beralih ke Kuala Lumpur ekoran Dewan Rakyat kembali bersidang.
Justeru, beberapa mesyuarat parti-parti politik dijadual berlangsung hari ini.
UMNO akan bermesyuarat malam ini bagi memutuskan bentuk kerjasama dan gabungan yang bakal berlaku seiring usaha parti itu membentuk kerajaan baharu di Perak.
Sebelum itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan turut dijadual bermesyuarat jam 3.30 petang di Parlimen.
Difahamkan, krisis politik di negeri ini menjadi antara agenda utama mesyuarat tersebut.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang kini berada di Kuala Lumpur turut mengesahkan satu mesyuarat akan berlangsung melibatkan pemimpin Pas Pusat.
Namun, beliau tidak menyatakan perincian lokasi dan masa berkenaan mesyuarat itu.
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Zainol Fadzi Paharudin, masing-masing merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut berada di Kuala Lumpur.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming hanya memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa beliau kini berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri sidang Dewan Rakyat.
#UMNO #PAS #DAP #Pakatan Harapan #politik #politik perak #rakyat #kerajaan #ADUN #DUN Perak #Istana Kinta #mesyuarat #Dewan Rakyat
;