Politik Perak: Lantikan Exco kerajaan negeri hak Sultan - Saarani

Abd Razak Mohd Ali
Disember 11, 2020 13:46 MYT
Saarani tidak menolak kemungkinan mengubah suai portfolio Exco mengikut kesesuaian semasa, kerana berdasarkan tempoh sembilan bulan yang lalu, mungkin ada kelemahan yang perlu dibaiki. - Gambar fail
IPOH: Pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak, termasuk daripada Pas, hanya akan dimuktamadkan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, beliau hanya boleh mencadangkan nama Exco mengikut kesesuaian, tetapi hak untuk memperkenannya terletak pada kuasa mutlak Sultan.
"InsyaAllah, lima lagi Exco kita akan penuhkannya apabila tiba masanya. Kita akan penuhkannya sepertimana yang sebelum ini. Akan tiba masanya, pelantikan itu akan dibuat.
"Cuma, harus diingat bahawa, Menteri Besar hanya boleh mencadangkan nama Exco, hak mutlak untuk memperkenankan cadangan tersebut dan pelantikan Exco adalah milik Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memulakan tugas hari pertama di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Saarani tidak menolak kemungkinan akan membuat pengubahsuaian dan penambaikan terhadap portfolio Exco, mengikut kesesuaian semasa.
[LAPOR LANGSUNG]: Saarani MB baharu Perak
BACA: Kerajaan negeri tidak akan hilang fokus - Saarani
BACA: Saarani mula tugas sebagai Menteri Besar Perak
Menurutnya, kajian semula akan dibuat kerana, berasaskan kepada tempoh sembilan bulan yang lalu, mungkin terdapat kelemahan yang perlu dibaiki.
Semalam, istiadat pelantikan lima Exco dibuat selepas majlis angkat sumpah menteri besar di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, tanpa membabitkan wakil Pas.
Empat daripada mereka adalah dari UMNO dan seorang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Terdahulu hari ini, tular di media sosial, surat yang ditandatangani Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, memohon menghadap Sultan Perak.
Ia bertujuan menyembah maklum kedudukan parti itu berkait krisis politik negeri ini.
Semalam, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dilaporkan berkata, beliau yakin parti itu tidak akan ditinggalkan dalam pembentukan Exco kerajaan negeri yang baharu.
Ia berdasarkan keyakinan bahawa semangat setiakawan dan penyatuan ummah yang terjalin antara Pas dan UMNO akan terus kekal.
Bagaimanapun, katanya, Pas Perak akur dengan sebarang keputusan sekiranya tidak dilantik menganggotai barisan Exco di bawah pimpinan Saarani.
Katanya, faktor kredibiliti wakil rakyat yang dipilih adalah lebih diutamakan.
#Exco #kerajaan negeri #Perak #politik perak #Menteri Besar #pelantikan #Sultan Perak #Sultan Nazrin Shah #PAS #ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri #Saarani Mohamad #hak mutlak #Razman Zakaria #Abdul Hadi Awang #kelemahan #pengubahsuaian #portfolio #kajian semula
;