Politik Perak: Kesediaan UMNO bersama PH satu amaran kepada PN - Penganalisis

Firdaus Azil
Disember 6, 2020 14:00 MYT
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) berkata, UMNO dan BN akan melihat segala kemungkinan yang ada, termasuk bekerjasama dengan parti dalam PH. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kesediaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Negeri Perak yang baharu, boleh diibaratkan sebagai mesej amaran kepada Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata, tindakan itu berkemungkinan besar akan dilaksanakan UMNO, jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas enggan memberi kerjasama bagi memastikan calon Menteri Besar daripada UMNO.
"Ini sebenarnya meletakkan kepada Bersatu dan Pas bahawa UMNO bersedia walaupun dikatakan sebelum ini mereka meletakkan naratif 'No DAP'.
"Saya boleh melihat ini mesej amaran kepada Bersatu dan Pas sekiranya tidak tunduk untuk berunding dengan UMNO dan menerima cadangan untuk menukar Menteri Besar secara baik dan kerajaan Perikatan Nasional dikekalkan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO dan BN akan melihat segala kemungkinan yang ada, termasuk bekerjasama dengan parti dalam Pakatan Harapan.
Namun, tegas ahli Parlimen Bagan Datuk itu, seboleh mungkin tidak perlu dilakukan penjajaran politik baharu, sebaliknya dikekalkan formula sebelum ini iaitu kerjasama antara Barisan Nasional dam Perikatan Nasional.
Pada Jumaat, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu telah menetapkan untuk tidak menyertai usaha pembentukan Kerajaan Negeri Perak yang baharu.
Pada masa sama, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya kesal berhubung situasi yang berlaku dalam di Perak.
BACA: PH sedia bentuk kerjasama dengan UMNO di Perak
BACA: Politik Perak: UMNO, BN tidak tolak kemungkinan penjajaran baharu politik
LAPOR LANGSUNG: UMNO, BN tidak tolak kemungkinan penjajaran baharu politik
Mengulas lanjut, Hisomuddin berkata, keadaan di Perak berpotensi menjadi pemicu, atau memberi impak ke atas kerajaan Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, sekiranya isu itu tidak ditangani dengan baik, ia juga berkemungkinan akan menyebabkan hubungan antara UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional menjadi retak.
"Saya tidak tolak sekiranya tindak balas daripada Bersatu dan juga Pas tidak positif. Perkara ini akan dibincangkan oleh Majlis Tertinggi UMNO untuk mengambil langkah politik, seterusnya sudah tentu ia akan berikan kesan kerjasama di antara perikatan nasional dan BN di peringkat kerajaan persekutuan.
“Malah ada juga kemungkinan impak itu akan melanda beberapa Kerajaan Negeri seperti Johor, Melaka, Kedah dan juga Sabah,” katanya lagi.
#UMNO #mesej #amaran #Perikatan Nasional #politik perak #Menteri Besar Perak #Hisomuddin Bakar #ILHAM Centre #Muhyiddin Yassin #Takiyuddin Hassan #PPBM #Barisan Nasional #PAS #Pakatan Harapan #Astro Awani #Malaysia #Perdana Menteri #menteri #calon #kerajaan #politik
;