Politik Melayu perlu bersatu - SEDAR

Astro Awani
Februari 28, 2021 06:00 MYT
Sebuah kerajaan pemerintahan dominan pribumi (PDP) yang kuat diyakini akan terbentuk jika tiga parti Melayu iaitu UMNO, Pas dan Bersatu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak sebagai satu pasukan.
KUALA LUMPUR: Sebuah kerajaan pemerintahan dominan pribumi (PDP) yang kuat diyakini akan terbentuk jika tiga parti Melayu iaitu UMNO, Pas dan Bersatu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak sebagai satu pasukan.
Timbalan Presiden Jaringan NGO Sedar (SEDAR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, berkata, amat mengecewakan jika tiga parti politik ini gagal mencari kesepakatan sebagai satu pasukan yang mantap untuk menyekat Pakatan Harapan dan DAP kembali berkuasa.
"Orang Melayu rata-rata serik dengan pengalaman 22 bulan di bawah Pakatan Harapan yang ditunjangi DAP dan PKR yang liberal.
"Tun Mahathir telah diperalatkan untuk menarik undi Melayu. Apa yang berlaku selama 22 bulan benar-benar telah membuka mata orang Melayu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Justeru, jaringan NGO SEDAR menyeru dan merayu kepada kepimpinan UMNO, Pas dan Bersatu supaya segera mencari penyelesaian agar satu jajaran politik yang kuat diwujudkan.
"Itulah satu-satunya jalan bagi menzahirkan sebuah PDP yang kuat dan stabil selepas PRU15.
"Hanya kerajaan PDP yang kuat mampu menjamin butir-butir Kontrak Sosial yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dihormati," katanya lagi.
#politik #UMNO #PAS #Bersatu #Pakatan Harapan #DAP #PKR #Mahathir Mohamad #pilihan raya #kerajaan
;