Politik Melaka: UMNO tidak mampu bergerak solo hadapi PRN- Penganalisis

Astro Awani
Oktober 13, 2021 21:22 MYT
UMNO perlu mengatasi persepsi negatif terhadap parti itu lantaran terpalit dengan dakwaan sebagai punca kepada krisis politik yang berlaku di Melaka. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: UMNO dilihat tidak mampu bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya ingin kekal memegang tampuk pentadbiran di negeri itu.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Sivamurugan Pandian berkata UMNO perlu melihat kepada lawan mereka iaitu Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak goyah dengan kemelut yang berlaku ketika ini.
"Walaupun Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) menyatakan mereka boleh bergerak solo, tetapi dalam konteks sekarang ini, percaturan juga harus melihat kepada kedudukan pesaing politik mereka PH yang saya rasa tidak goyah dengan kerjsaama DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).
"Sekiranya ingin dekati undi protes, yang sudah tentu boleh berlaku, dan jika mahu ingin pastikan pola pengaliran keluar pengundi meningkat kerana dijangka menurun dalam kedudukan semasa, maka kerjasama-kerjasama ini perlu dimaksimumkan oleh UMNO," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.
PRN Melaka | Pengumuman besar SPR pada Isnin
BACA: Politik Melaka: 'Biarlah UMNO bertanding dengan panji BN secara solo' - Ahmad Zahid
Jelasnya, UMNO perlu mengatasi persepsi negatif terhadap parti itu lantaran terpalit dengan dakwaan sebagai punca kepada krisis politik yang berlaku di Melaka.
"Sekiranya kerjasama dibina dengan parti-parti lain (komponen Perikatan Nasional), itu sekurang-kurangnya akan menunjukkan keupayaan UMNO untuk ketengahkan penyatuan ataupun kerjasama dengan parti lain dalam keadaan ketika perlu mengurus beberapa persepsi.
"Jadi, UMNO berhadapan dengan persoalan untuk mengurus persepsi dalam kalangan pengundi walaupun kita tahu di peringkat akar umbi, UMNO kuat dari segi guna tenaga, jentera dan mengurus parti.
"Sejauh mana itu mampu terjemah dalam bentuk sokongan (semasa PRN), masih menjadi satu titik persoalan," katanya.
Zahid pada Selasa memberi gambaran kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) berkemungkinan tidak dapat direalisasikan dalam PRN Melaka sekiranya ia diadakan kelak.
Katanya, biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji Barisan Nasional (BN) secara solo, dan percaya rakyat akan memilih parti yang terbaik.
#politik melaka #PRN Melaka #UMNO #kerjasama
;