Politik Melaka: UMNO punca utama kemelut, hanya TYT boleh selesaikan - DAP
Fareez Azman
Oktober 8, 2021 18:18 MYT
Oktober 8, 2021 18:18 MYT
MELAKA: Kemelut politik yang berlaku di Melaka sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu berpunca daripada masalah dalaman UMNO sendiri.
Demikian dakwa Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok View yang berpendapat hanya Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dapat menyelesaikan isu berkenaan.
"Perkara ini sedang berlaku, DUN dibubarkan, kena cari solusi dan tugas kita jangan keruhkan keadaan tetapi memperbaiki keadaan.
"Maka kita harus berusaha memastikan kestabilan politik demi kepentingan rakyat dan bukannya ayat 'kestabilan politik' ini diperalat oleh UMNO untuk menstabilkan kuasanya," jelasnya dalam satu sidang media di Melaka pada Jumaat.
Mengulas lanjut, katanya kesimpulan mengenai UMNO menjadi punca kemelut itu dibuat selepas pertemuan dengan pemimpin UMNO sendiri.
"Melalui panggilan pemimpin UMNO kepada saya pada 1 dan 3 Oktober, saya telah berjumpa dengan pemimpin-pemimpin UMNO pada malam itu.
"Setelah diperhalusi perbincangan tersebut dan mempertimbangkan, (jelas) bahawa UMNO adalah punca utama keadaan politik tidak stabil di Melaka.
"Kami berpendapat pihak Tuan Yang Terutama Tun Mohd Ali Rustam merupakan individu yang paling sesuai mencari jalan penyelesaian untuk menjamin kestabilan politik Melaka.
"Justeru, nasib rakyat dapat dibela... lebih-lebih lagi ktia sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 dan kami masih menaruh harapan agar dapat mengadap Tun untuk mendapat nasihat beliau," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari memaklumkan pihaknya masih meletakkan harapan tinggi untuk bertemu Mohd Ali walaupun masih belum menerima sebarang panggilan dari Istana Melaka setakat ini.
Jelasnya, situasi genting ketika ini, pertemuan tersebut amat penting untuk diadakan secepat mungkin agar kemelut politik sekarang dapat dileraikan dengan cara terbaik susulan negara masih berdepan cabaran pandemik COVID-19.