Politik Melaka: Rakyat berharap Pemangku Agong dapat buat keputusan terbaik

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 9, 2021 18:41 MYT
Tinjauan mendapati, rakyat berpendapat peningkatan semula jangkitan COVID-19 akan menjejaskan pemulihan ekonomi dan kesihatan negeri dan menyusahkan kehidupan. - Gambar/ Astro AWANI
MELAKA: Rakyat Melaka melahirkan kebimbangan kemungkinan berdepan peningkatan semula kes COVID-19 jika pilihan raya negeri (PRN) diadakan dalam tempoh terdekat.
Mereka berpendapat, PRN akan menyebabkan negeri itu menjadi tumpuan ahli politik dan penyokong parti untuk berkempen, selain orang ramai berkumpul untuk mengundi sekali gus mengundang risiko penularan jangkitan COVID-19.
Tinjauan mendapati, rata-rata mereka berkata peningkatan semula jangkitan COVID-19 akan menjejaskan pemulihan ekonomi dan sistem kesihatan negeri serta menyusahkan kehidupan rakyat secara keseluruhan.
Mereka berharap PRN dapat ditangguhkan dan Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzudin Shah dapat membuat keputusan yang terbaik demi mengelakkan pemulihan COVID-19 di Melaka terjejas disebabkan PRN.
Nelayan Md. Said Adam, 60, dari Klebang meminta kerajaan mengambil iktibar daripada PRN Sabah pada tahun lalu yang menyaksikan kes COVID-19 meningkat mendadak.
"Kalau kita ambil iktibar daripada pengalaman atau peristiwa lepas umpamanya pilihan raya yang pernah berlaku di Sabah, jadi memang kita dapati COVID-19 meningkat sehingga sukar dikawal.
"Ia mengancam rakyat di seluruh negara bukan di Sabah sahaja. Saya amat berharap Pemangku Yang di-Pertuan Agong dapat membantu supaya PRN ini ditangguhkan," katanya di sini, hari ini.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Melaka Bergolak: Kabinet tunggu pendirian Agong dahulu - PM
Seorang penganggur, Michael Chua, 53, dari Cheng, khuatir kerana PRN akan menyebabkan Melaka dibanjiri terlalu ramai orang dari seluruh negara untuk berkempen menyebabkan keadaan sukar dikawal.
"Kalau kata nak undi PRN, saya tak sokong sebab Melaka baru nak bernafas semula. Kalau PRN, ia akan menyusahkan rakyat cari makan... rakyat sekarang semua dah susah... masalah kewangan.. termasuk saya yang menjadi penganggur disebabkan kehilangan kerja.
"Semua pihak perlu bersabar untuk PRN ini, biarlah lepas setahun dulu barulah PRN," katanya.
Bagi peniaga, R. Ramesh, 55, dari Cheng, sekarang bukan masa sesuai untuk berpolitik atau mengadakan PRN, sebaliknya semua tumpuan perlu diberi untuk memulihkan ekonomi rakyat.
"Isu utama dihadapi rakyat ketika ini adalah COVID-19. Jadi biarlah rakyat dapat selesaikan segala masalah dihadapi disebabkan COVID-19 (membabitkan kesihatan dan ekonomi), selepas semua sudah stabil barulah buat PRN," katanya.
Pada 4 Oktober lepas DUN Melaka dibubarkan kerana Kerajaan Negeri Melaka hilang majoriti dan berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, PRN perlu dilaksanakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran itu.
Ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) - Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) yang hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan untuk menasihatkan Sultan Nazrin sama ada mengisytiharkan darurat atau meneruskan PRN Melaka akan diketahui minggu hadapan.
Beeliau berkata, ia bagi memberi ruang kepada Sultan Nazrin mendapat taklimat berhubung isu berkenaan.
Katanya, setakat ini Kabinet telah mengadakan mesyuarat dan berbincang berkenaan situasi di negeri tersebut, namun tiada keputusan dimuktamadkan.
#politik melaka #suara rakyat #PRN Melaka #Pemangku Yang di-Pertuan Agong
;