Politik Melaka: PRN perlu diadakan, biar kuasa rakyat tentukan pemimpin pilihan - Abdul Rahim
Fareez Azman
Oktober 11, 2021 18:50 MYT
Oktober 11, 2021 18:50 MYT
AYER KEROH: Melaka tiada pilihan lain selain daripada melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi menstabilkan politik negeri itu.
Menurut bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, krisis politik yang melanda negeri itu amat serius dan perlu diselesaikan dengan cara menyerahkan kuasa kepada rakyat.
Beliau berkata, hanya melalui PRN, pemimpin yang benar-benar layak menerajui kerajaan negeri dapat ditentukan.
"Sebagai orang lama dan bekas Ketua Menteri Melaka, saya berpendapat PRN perlu diteruskan, pasal krisis yang berlaku di dalam negeri agak serius dan amat meluas melibatkan kerajaan dominan (iaitu) dalaman kerajaan itu sendiri yang meledak.
"Sebagaimana disebutkan ada beberapa perkara tidak sihat berlaku. Perkara-perkara yang di luar jangkaan rakyat berlaku, perkara ini amat merbahaya dari segi kepentingan umum, jadi bila pendedahan ini dibuat secara terbuka mengakibatkan pihak kerajaan kehilangan majoriti," katanya dalam sidang media di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut tambah Abdul Rahim, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam juga telah dibuat.
Justeru, negeri itu tiada pilihan lain selain mengikut tradisi demokrasi menerusi PRN.
"Maka dari segi tradisi demokrasi kita tidak ada pilihan lain kecuali menyerahkan kuasa untuk memilih satu kerajaan baharu dalam negeri ini dan di dalam proses PRN yang akan diadakan setelah pembubaran DUN diisytiharkan Yang di-Pertua Negeri Melaka," katanya lagi.
Krisis politik di Melaka bermula selepas empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional, Bersatu dan Bebas menarik sokongan daripada kerajaan negeri dibawah pentadbiran Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Berikutan kehilangan majoriti, DUN Melaka dibubarkan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka pada 4 Oktober lalu bagi memberi laluan pada PRN.