Politik Melaka: PH cabar keabsahan kerajaan sementara - Adly
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 6, 2021 15:21 MYT
Oktober 6, 2021 15:21 MYT
BUKIT KATIL: Pakatan Harapan (PH) Melaka akan mencabar keabsahan kerajaan sementara negeri Melaka yang dibentuk susulan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, semalam.
Pengerusinya, Adly Zahari berkata ketika ini pihaknya masih melakukan beberapa proses perundangan sebelum mengemukakannya ke mahkamah kelak.
Beliau yang juga ADUN Bukit Katil mendakwa, proses pembubaran DUN yang dicadangkan kerajaan negeri kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, juga tidak melalui proses yang betul, sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak.
Justeru, katanya, PH Melaka merayu supaya diberi peluang untuk bertemu Tun Mohd Ali, bagi menyatakan pandangan khususnya mengenai sokongan majoriti ADUN yang menyokongnya.
“TYT juga sewajarnya tidak bertindak terburu-buru membubarkan DUN sebelum mendengar pandangan majoriti ADUN (ADUN PH dan empat ADUN yang tidak lagi bersama kerajaan).
“Pengumuman Speaker DUN Melaka untuk kerajaan sedia ada sebagai 'caretaker government' juga agak mengelirukan. PH negeri Melaka berpandangan adalah tidak wajar untuk seorang yang telah hilang kepercayaan dibenarkan menjadi Ketua Menteri 'caretaker government'.
“Mengambilkira apa yang berlaku pada 2 Mac 2020 sebagai “precedent case”, apabila saya hilang kepercayaan sebagai Ketua Menteri Melaka, tugas pentadbiran kerajaan negeri dipertanggungjawabkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Ketua Menteri baharu dilantik," katanya ketika ditemui pada sidang media di sini, hari ini.
Semalam, Tun Mohd Ali bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14 berkuat kuasa Isnin lalu.
Perkara itu diumumkan Speaker DUN, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh, pada sidang medianya di Seri Negeri, semalam.