Politik Melaka: MKT UMNO akan bermesyuarat Khamis ini - Ahmad Maslan

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 10, 2021 00:30 MYT
Ahmad Maslan berkata, perbincangan antara lain termasuk persediaan dan keperluan sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa dilaksanakan. - Astro AWANI
KLEBANG: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan diadakan pada Khamis ini khusus bagi membincangkan isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan membentangkan kepada pucuk pimpinan situasi semasa berkaitan kemelut politik negeri itu.
Ujarnya, perbincangan antara lain termasuk persediaan dan keperluan sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa dilaksanakan.
“Saya ingin maklumkan bahawa mesyuarat MKT UMNO akan diadakan pada Khamis antaranya membincangkan perkara khusus tentang (politik) Melaka.
“Tentunya presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memberikan pandangan apa yang kita akan lakukan di negeri Melaka ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan UMNO negeri di Baitul Tariq di sini malam Ahad.
Hadir sama, Ab Rauf, Sulaiman dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Mengulas lanjut, katanya samada cepat atau lambat, PRN Melaka akan tetap dilaksanakan dan keputusan itu akan diputuskan Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzudin Shah.
“Tentulah tajuk utamanya PRN Melaka sama ada PRN itu cepat atau lambat, itu keputusan Sultan Nazrin samada berlaku lambat atau cepat, ada darurat atau tidak itu bukan lagi di bawah pertimbangan kami.
“Walau bagaimanapun persiapan hadapi PRN tetap perlu dibuat segera,” tambahnya.
Sementara itu, mengulas mengenai perjalanan Persidangan Cawangan UMNO yang dijadual bermula 15 Oktober ini, Ahmad berkata ia tidak akan terjejas sekiranya PRN dilaksanakan.
“Persidangan ini tidak terganggu, sebab jadual dia panjang kerana ianya berlangsung sebulan setengah.
“Maka, cawangan diberikan pilihan untuk mengadakan mesyuarat pada tarikh yang sesuai dan tentunya ia tidak terganggu,” katanya lagi.
#Majlis Tertinggi UMNO #politik melaka #mesyuarat #Melaka #Ahmad Maslan #MKT UMNO #DUN Melaka #PRN Melaka
;