Politik Melaka: Kemelut tak sepatutnya berlaku, namun PN tetap bersedia - Azmin
Firdaus Azil
Oktober 9, 2021 17:15 MYT
Oktober 9, 2021 17:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kemelut yang melanda Melaka, sehingga mengakibatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lepas, tidak sepatutnya berlaku, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, pergolakan itu tidak sepatutnya terjadi di saat Kerajaan sedang berusaha membuka kembali sempadan negeri dalam keadaan yang selamat, dan memulihkan sektor pelancongan.
Namun, tegasnya lagi, sebagai kerajaan bertanggungjawab, Kabinet akan membuat keputusan berlandaskan Perlembagaan Negeri, Persekutuan, dan mengikut lunas perundangan yang sesuai.
“Walaupun dah ada tanda positif yang semakin baik, tetapi kita masih lagi bergelut dengan masalah ini. Kita tak mahu ada sudden spike kerana wujudnya pilihan raya negeri.
"Sebab itu kita melihat, perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan rakyat masih lagi berhadapan dengan pandemik, dan kita harus ingat Melaka ini negeri pelancongan.
“Kita baru saja nak buka sempadan untuk pulihkan sektor pelancongan, dan saya bimbang perkara ini akan mengganggu (usaha pembukaan sempadan dengan selamat),” kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional itu lagi.
Ahli Parlimen Gombak itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Iltizam Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, dan menyampaikan bantuan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kepada penduduk, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azmin berkata, Bersatu dan Perikatan Nasional akan membuat persediaan seandainya pilihan raya negeri tidak dapat dielakkan.
“Sekiranya keputusannya untuk mengadakan pilihan raya negeri, sebagai sebuah parti politik, sudah tentu kita harus bersedia, dan kita mahu jalinan kerjasama yang wujud selama hampir dua tahun ini dipertahankan.
“Kerana rakyat ingin lihat perpaduan, rakyat ingin lihat permuafakatan yang erat. Dan hanya dengan perpaduan dan kerjasama erat ini, kita dapat mengatasi masalah pandemik dan juga pemulihan ekonomi,” katanya lagi.