Politik Melaka: Keabsahan kerajaan sementara di Melaka boleh dijadikan tauladan - Pakar
Astro Awani
Oktober 14, 2021 14:28 MYT
Oktober 14, 2021 14:28 MYT
MELAKA: Selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu, timbul pula persoalan berhubung keabsahan (legitimasi) kerajaan sementara atau 'caretaker' seperti diumumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Susulan itu juga Pakatan Harapan (PH) Melaka telah membawa kes pembubaran DUN Melaka itu ke mahkamah supaya ia dapat dijadikan teladan dan rujukan sekiranya perkara seumpama itu berulang lagi di masa hadapan.
Menurut Pakar Undang-Undang Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Hafidz Hakimi Haron, pembentukan kerajaan sementara di peringkat negeri tidak termaktub dalam Perlembagaan Negeri berbanding Perlembagaan Persekutuan.
"Sebenarnya tidak ada peruntukan khusus di dalam Perlembagaan Negeri Melaka mengenai pembentukan sebuah kerajaan sementara, seperti yang ada d idalam Perlembagaan Persekutuan.
"Untuk di peringkat Persekutuan seperti yang termaktub di bawah Perkara 43(2)(b) Perlembagaan tersebut. Disebabkan tiada dalil perundangan yang khusus, jadi ini bermakna kerajaan sementara Negeri Melaka adalah dibentuk berdasarkan konvensyen," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Kuasa kerajaan sementara
Mengulas lanjut, jelas Hafidz, kuasa sebuah kerajaan sementara adalah bersifat minimum bagi meneruskan polisi sedia ada demi kepentingan awam.
"Jadi seperti yang kita maklum, kuasa sebuah kerajaan sementara adalah bersifat minimum kerana ia sudah tidak mempunyai legitimasi mutlak.
"Fungsi utama kerajaan sementara adalah untuk meneruskan polisi-polisi sedia ada bagi memastikan kepentingan awam terus terpelihara.
"Kerajaan negeri juga tidak boleh meluluskan atau merangka apa-apa polisi yang besar kerana kekurangan legistimasi tersebut," katanya lagi.
Malah kerajaan sementara jelasnya akan hilang kuasanya selepas kerajaan baharu dibentuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan kelak.
"Legitimasi Ketua Menteri sementara berkenaan dengan kerajaan sementara di peringkat Persekutuan pernah disebut di dalam kes Abd Ghani Ali lawan Timbalan Pendakwa Raya dimana telah menjadi kewajipan untuk mempunyai Kabinet dalam sepanjang masa.
"Jika kita gunakan analogi yang sama di peringkat negeri, jadi ianya boleh terpakai. Namun pada pendapat saya keabsahan kerajaan sementara boleh dicabar di mahkamah sekiranya ia dibentuk dengan tidak melalui prosedur atau proses yang betul," katanya lagi.
Situasi politik Melaka
Mengulas situasi di Melaka apabila ada pemimpin politik yang ingin mencabar keabsahan kerajaan sementara menerusi mahkamah.
Jelas Hafidz, proses semakan kehakiman boleh dilakukan oleh mana mana pihak bagi memastikan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan secara tepat.
"Pemasalahan yang saya nampak pada waktu ini, adalah sama ada wujud atau tidak prosedur tersebut di peringkat negeri?
"Lebih mendalam lagi, adakah pembubaran DUN yang dilakukan mengikut lunas-lunas prosedur undang-undang yang wajar dan sepatutnya?
"Ini penting kerana sekiranya pembubaran DUN tidak dilakukan secara tepat, maka ianya pembubaran tersebut boleh tercabar, sekaligus menggugat keabsahan kerajaan sementara," katanya lagi.
Bagaimanapun, semakan kehakiman tambahnya adalah proses semak dan imbang bagi memastikan prosedur undang-undang berkaitan diikuti.
Keputusan mahkamah yang akan ditentukan juga katanya akan menjadi tauladan kepada kes-kes sama yang timbul selepas ini.
"Apa- apa keputusan mahkamah kelak akan menjadi tauladan atau precedent kepada apa-apa kes berkaitan yang timbul selepas ini.
"Dalam hal ini selagi mana ianya berpatutan, saya tidak lihat ianya sebagai tekanan politik semata mata, malah ianya lebih kepada satu proses semak dan imbang yang kita amalkan di negara ini.
Sebagai sebuah demokrasi yang meraikan doktrin pemisahan kuasa, ini penting bagi memastikan segala undang-undang dipatuhi dan diikuti.
"Cuma harapan saya mana-mana pihak yang 'menekan' mengikuti dan menggunakan saluran yang betul, itu sahaja," jelas pakar undang-undang itu lagi.
Perlukah diisytihar Darurat?
Mengulas mengenai keperluan mengisytiharkan Darurat bagi mengelakkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan di Negeri Melaka.
Jelas Hafidz, tindakan itu amat wajar bagi mengelakkan lebih banyak kemudaratan kesihatan awam berlaku yang boleh mengancam nyawa rakyat.
"Pada pandangan saya jika kita lihat dari perspektif pandemik COVID-19 atau kesihatan awam, memanglah wajar darurat diisytihar bagi mengelak lebih banyak mudarat.
"Tetapi ini mungkin juga menimbulkan sedikit masalah kerana tidak seperti di Negeri Sarawak, DUN Melaka telahpun dibubarkan.
"Jadi legitimasinya lebih kurang dibandingkan di Sarawak. Ini mungkin membangkitkan isu-isu yang lain oleh kerana DUN sudah dibubarkan," katanya.
Ia termasuk kekangan pembentangan Belanjawan Negeri.
"Misalannya soal kelulusan bajet kerajaan negeri kelak sebagainya. Belanjawan tidak boleh dibentang di DUN kerana DUN sudahpun dibubarkan.
"Jadi pada saya mungkin juga akan timbul kecelaruan pentadbiran. Soalnya sekiranya darurat diisytiharkan, berapa lama tempoh yang bersesuaian?
"Dalam keadaan situasi semasa yang tidak menentu, mungkin agak susah untuk kita tentukan berapa lama, tambahan pula kerajaan sementara didakwa sebagai kerajaan yang tidak mempunyai sokongan majoriti," jelasnya lagi.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membuat keputusan itu.
Ia selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengutuskan surat pembubaran kepada Tun Mohd Ali susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
Empat bekas ADUN itu adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).