Politik Melaka: Idris, Nor Azman dakwa terima pelbagai tawaran untuk PRN
Shuhada Abdul Kadir, Fareez Azman
Oktober 6, 2021 12:40 MYT
Oktober 6, 2021 12:40 MYT
MELAKA: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang digugurkan keahlian selepas mendakwa hilang kepercayaan dengan kerajaan negeri mendedahkan menerima pelbagai tawaran untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron menegaskan beliau bersama ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hasan tidak akan bertanding atas tiket Bebas dan sedang mempertimbangkan beberapa tawaran.
“Apabila tersebar berita saya dipecat, dua presiden parti komponen Pakatan Harapan (PH) terus hubungi saya.
“Satu pintu (parti) tertutup, banyak lagi yang terbuka.
"Jadi politik ini namanya terkubur dalam konteks itu lah; politik subur tetapi demokrasi ‘mandul’ di Melaka.
“Kami akan fikirkan parti mana kami hendak pergi dan setakat ini kita sedang pertimbangkanlah tawaran tiga empat parti ini," katanya pada sidang media di Pantai Kundor, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nor Azman ketika ditanya soal keyakinan memperoleh kerusi pada PRN yang akan dilaksanakan nanti, beliau memaklumkan akan kekal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor.
“Saya bersama Datuk Seri Idris akan cari (parti) sendiri dan insya-Allah kami akan kekal bertanding di DUN masing-masing.
“Kami akan fikir parti mana hendak pergi kerana kami tidak boleh duduk di kerusi Bebas,” ujarnya.
Terdahulu, Idris dan Azman antara empat ADUN yang ‘berpaling tadah’ mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri, sekali gus menyaksikan kerajaan dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang majoriti.
Nor Azman yang pertama kali mengadakan sidang media selepas kemelut politik yang melanda negeri itu dilihat menangis sambil memohon ampun dan maaf kepada rakyat negeri Melaka.