Politik kebencian Pakatan Harapan menguntungkan Barisan Nasional

Harits Asyraf Hasnan
Jun 9, 2016 18:23 MYT
AHMAD TAJUDDIN: Kita di dalam UMNO serta komponen BN, kita mesti tunjuk kita berpolitik matang.
Politik kebencian yang diamalkan Pakatan Harapan bukan hanya merugikan malah memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata majoriti penduduk Malaysia sudah muak dan bosan dengan politik kebencian yang diamalkan Pakatan Harapan.
"Politik kebencian yang diamalkan Pakatan Harapan akan menguntungkan BN. Orang ramai tidak suka politik kebencian. Majoriti orang tidak suka.
"Pada saya, jangan ambil peduli, biarkan mereka (Pakatan Harapan) dengan politik kebencian. Kita di dalam UMNO serta komponen BN, kita mesti tunjuk kita berpolitik matang, menjurus ke arah membela nasib rakyat, perjuangan untuk bangsa dan tanah air.
"Kita perjuangkan isu-isu bagaimana hendak membangunkan lagi Kuala Kangsar selain menggalakkan usahawan Melayu supaya lebih berjaya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak pada masa sama menyelar tindakan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang terus mengamalkan politik terdesak dalam tempoh berkempen ini.
"Buat apa saya hendak nasihat Rafizi sebab dia tidak makan nasihat, cakap apa benda pun dia tidak dengar, dia dah biol.
"Dia boleh guna (politik kotor), tapi kita jangan ikut, jangan percaya dia, jangan ikut apa yang dia cakap dan apa yang dia buat.
"Semua perkara tersebut adalah tidak beretika, tidak mengikut ajaran Islam dan tidak boleh dijadikan contoh," tegas Tajuddin.
Justeru, beliau menasihati orang ramai untuk tidak terpedaya dan percaya dengan tohmahan yang dilemparkan Ahli Parlimen Pandan itu.
#Ahmad Tajuddin Abdul Rahman #Barisan Nasional #BN #Pakatan Harapan #politik kebencian
;