Polis buru pemilik akaun Facebook sebar berita palsu berkaitan jawatan PM
Afiezy Azaman
Februari 29, 2020 14:33 MYT
Februari 29, 2020 14:33 MYT
Polis memburu beberapa pemilik akaun di Facebook kerana dipercayai memuatnaik hantaran di laman media sosial berhubung penyerahan jawatan Perdana Menteri Malaysia, pada Jumaat.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, hantaran Facebook itu dimuat naik oleh pemilik akaun bernama ‘Sharifah Sofia Syed Rashid III’ dan turut dikongsi pemilik akaun bernama ‘Zali Zakri’, ‘Kunak Sabah Belacan’ dan ‘Malek Hj Lahab’.
“Kes disiasat di bawah seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam serta seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
“Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengesan kesemua suspek yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Huzir menasihatkan semua pihak tidak membuat sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang, mengeluarkan kenyataan atau memuatnaik sebarang artikel yang boleh menganggu gugat ketenteraman awam.
“PDRM menggesa orang awam agar tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angina atau berita yang boleh menyebabkan kegentaran kepada masyarakat.
“PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan, jelasnya.
#akaun
#Akta Komunikasi dan Multimedia
#Datuk Huzir Mohamed
#Facebook
#kegentaran awam
#Kunak Sabah Belacan
#Malaysia 2020
#Malaysia2020
#Malek Hj Lahab
#Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah
#Perdana Menteri
#polis
#Sharifah Sofia Syed Rashid III
#Zali Zakri