Polemik T15 timbul akibat kecelaruan dasar penyasaran subsidi - Mohd Syahir
Astro Awani
November 2, 2024 13:51 MYT
November 2, 2024 13:51 MYT
KOTA BHARU: Ahli Parlimen Bachok mendakwa polemik T15 yang timbul ketika ini adalah berpunca dari kecelaruan dasar penyasaran subsidi yang dibuat kerajaan tanpa kajian teliti.
Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, ia juga adalah akibat kegagalan kerajaan menurunkan harga minyak, hutang, menunaikan janji dan menangkap pencuri.
"Yang menjadi mangsa adalah rakyat. Golongan bawahan B40 terhimpit, golongan pertengahan M45 tersepit, manakala golongan atasan T15 terpalit," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu kenyataan yang mengaitkan pembangkang hanya membangkitkan isu T15 di Parlimen sehingga tidak membela nasib 85 peratus rakyat bawahan juga adalah tidak tepat.
"Dengan penuh hormat, mungkin PM terkhilaf.
"Jika kita ikuti perbahasan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang, boleh dinisbahkan 85 peratus topik perbahasan menyentuh pelbagai isu rakyat bawahan dan kegagalan kerajaan, manakala baki 15 peratus topik perbahasan adalah menyentuh isu-isu antarabangsa," katanya lagi.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menyatakan rasa "lemas" dan hairan melihat gelagat pihak pembangkang yang dianggap gigih membela golongan maha kaya.
Ketika mengulas mengenai perancangan Kerajaan dalam penyasaran subsidi petrol, Anwar menjelaskan, perdebatan di Parlimen menunjukkan ramai pihak pembangkang mempertahankan golongan T15.