Pola pengundian golongan muda sukar dijangka - Penganalisis politik

Bernama
Mei 7, 2018 17:28 MYT
Golongan muda kini lebih matang dan lantang bersuara mengenai isu yang dihadapi mereka selain sukar untuk terpengaruh dengan sentimen politik perkauman. - Gambar hiasan
Pola pengundian dalam kalangan orang muda pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sukar dijangka memandangkan kebanyakan mereka tidak terikat dengan sentimen politik, kata seorang penganalisis politik.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr Azmil Tayeb berkata sebaliknya golongan muda lebih menumpukan isu yang memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada pembangunan negara.
"Pola (pengundian) PRU14 memang susah untuk dijangka... sekarang ini kita ada bekas perdana menteri yang telah berkhidmat selama 22 tahun mewakili PPBM, Pas pula sudah tidak bersama Pakatan Harapan (PH) dan ada pula anak-anak pemimpin Pas yang bertanding atas tiket parti lain.
"Situasi itu menarik untuk dikaji kerana ia dapat mengukur kesetiaan pengundi sama ada kepada parti atau individu yang bertanding," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau, yang membuat kajian pola pengundian di negara ini bersama beberapa pensyarah universiti tempatan itu berkata jika dilihat dalam konteks golongan muda atau yang kali pertama mengundi, isu seperti peluang pekerjaan, rumah mampu milik dan kos sara hidup adalah antara perkara yang dekat dengan mereka dan memerlukan penyelesaian.
Azmil berkata golongan muda kini lebih matang dan lantang bersuara mengenai isu yang dihadapi mereka selain sukar untuk terpengaruh dengan sentimen politik perkauman.
"Bagi saya, politik perkauman semakin tidak relevan terutama untuk orang muda...mereka lebih fokus kepada masalah kehidupan dan pendapatan seharian. Mereka (orang muda) tidak kisah siapa, asalkan yang boleh melaksanakan atau menangani isu-isu ini (akan dipilih)," katanya.
Beliau berkata keadaan berbeza dengan pengundi yang lebih berusia dan sebahagian besar daripada golongan itu masih dipengaruhi oleh sentimen politik perkauman.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata daftar pemilih suku keempat 2017 yang mempunyai 14,940,624 pemilih berdaftar akan digunakan untuk PRU14,
Daripada jumlah itu 14,636,716 adalah pemilih biasa, 300,255 pengundi awal yang terdiri daripada tentera dan pasangan serta polis manakala 3,653 pengundi tidak hadir luar negara.
Hari pengundian ditetapkan pada Rabu ini, 9 Mei.
-- BERNAMA
#Dr Azmil Tayeb #Malaysia Memilih #orang muda #PAS #penganalisis politik #pola pengundian #PRU14 #sentimen politik
;