'PN yang patut bimbang' - Rafizi akan tunjuk data minggu ini tangkis dakwaan pembangkang

Hasimi Muhamad
Jun 20, 2023 18:17 MYT
Jelas Rafizi, data yang bakal didedahkannya itu sekali gus akan membuktikan bahawa dakwaan yang dibuat oleh PN adalah tidak berasas - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan mengemukakan data pada minggu ini bagi membuktikan bahawa Pakatan Harapan (PH) lebih mendapat sokongan berbanding Perikatan Nasional (PN).
Jelas Rafizi, data yang bakal didedahkannya itu sekali gus akan membuktikan bahawa dakwaan yang dibuat oleh PN adalah tidak berasas.
"Saya fikir (data) itu mampu membuktikan jika apa-apa (berlaku), yang patut bimbang bukan PH tetapi PN. Ini kerana kubu mereka yang sebenarnya tidak selamat seperti yang didakwa.
"Tetapi tak apa lah, biar saya simpan (data) itu sebagai kejutan.
"Jadi bila saya sudah kemukakan data tersebut, saya harap ia (pembangkang) akan mula perlahan dengan spekulasi dan saya nasihatkan kepada PN, alasan kenapa saya tidak memberi respons politik terlalu banyak dalam tempoh enam bulan ini kerana sebagai kerajaan, kita ada kerja yang perlu dibuat," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa kerajaan tidak mustahil akan jatuh selepas PRN ini jika PN mampu memperolehi kemenangan di lima daripada enam negeri.
Selain itu, Rafizi turut mencabar PN untuk berkempen dengan membuktikan siapa yang boleh mentadbir negara ini dengan lebih baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Kata Rafizi, PN tidak seharusnya menyebarkan propaganda kononnya akan berlaku gelombang pada pilihan raya tersebut, atau kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan jatuh.
Jelas Rafizi, pembangkang perlu memainkan peranan dengan baik termasuk menumpukan kepada polisi kerajaan atau menjelaskan apa yang dilakukan mereka ketika menerajui kerajaan dalam tempoh 33 bulan lalu.
"Itu cara paling baik untuk PN berkempen pada PRN ini, bukan membina persepsi akan ada gelombang, atau (kerajaan) akan jatuh. Ini cerita wayang yang tidak akan membaiki kehidupan rakyat.
"Cabaran saya kepada mereka ialah mari kita memasuki pilihan raya dengan fokus siapa yang boleh mentadbir negara lebih baik dan tadbir urus negara ini adalah tentang integriti, kecekapan dan polisi.
"Bukannya, Melayu lawan Cina, siapa lagi hebat, siapa lagi ramai pengikut atau siapa boleh mengumpulkan konvoi motor terbesar," katanya lagi.
Dalam masa sama, Rafizi mempersoalkan dakwaan Tuan Ibrahim bagaimana Kerajaan Perpaduan boleh jatuh selepas PRN ini.
Ini kerana, undi tidak percaya dan lompat parti tidak akan berlaku, kata Rafizi.
"Blok parti meninggalkan Kerajaan Perpaduan? Itu pun secara angka sukar untuk berlaku kerana kalau katakan Barisan Nasional (BN) keluar (Kerajaan Perpaduan), kerajaan masih kekal.
"Kalau katanya blok lain keluar, kerajaan masih kekal. Ia sukar dari segi angka dan khususnya bila saya tunjukkan dalam dua tiga hari akan datang bahawa keadaan sokongan itu tidak lah seperti dicanang-canang oleh PN," kata Rafizi.
Sementara itu, Rafizi memaklumkan setakat ini perbincangan agihan kerusi antara PH dan BN bagi enam negeri mencapai 98 peratus.
Beliau berkata, ada beberapa kerusi yang mempunyai pertindihan dan akan dimuktamadkan.
#Rafizi Ramli #Perikatan Nasional #PRN
;