PN tolak permohonan Pejuang sertai gabungan itu - Hamzah
Fareez Azman
Mac 21, 2023 16:04 MYT
Mac 21, 2023 16:04 MYT
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) membuat keputusan menolak permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyertai gabungan itu.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan media Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Selasa.
Jelasnya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dihadiri kepimpinan tertinggi komponen parti PN.
"Majlis Tertinggi PN telah membuat keputusan menolak permohonan kemasukan Parti Pejuang Tanah Air ke Perikatan Nasional," jelasnya.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 2 Mac lalu menjelaskan parti itu telah memohon untuk menjadi anggota komponen dalam PN.
Permohonan itu ujarnya telah dihantar kepada Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PN.