PN tidak tergugat kemasukan calon Bebas di PRK Pelangai
Sinar Harian
September 10, 2023 13:21 MYT
September 10, 2023 13:21 MYT
KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang tidak akan tergugat dengan kehadiran calon Bebas yang dikatakan akan merebut kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober depan.
Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, kemasukan calon Bebas disifatkan kurang memberi saingan berbanding calon yang memiliki jentera dan parti.
Menurutnya, namun sesiapa sahaja berhak untuk menyertai pilihan raya dan menjadi calon bertanding.
"Realiti dalam negara kita pada hari ini, mana-mana calon masuk atas tiket Bebas ditolak oleh rakyat.
"Rakyat masih lagi melihat kekuatan calon berdasarkan pakatan mereka. Jadi, PN buat masa ini tidak rasa tergugat dengan kemasukan calon Bebas," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Pada 29 Ogos lalu, Presiden Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli menjadi individu pertama menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas selepas mendapatkan borang pencalonan di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang.
Beliau berkata, keputusan untuk bertanding di kerusi terbabit kerana mahu membawa suara anak Pahang perlu didengar dalam DUN.
Mengulas lanjut, Mohd Tarmizi menjelaskan pengalaman pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini jelas menunjukkan sebahagian besar calon bebas tidak boleh diterima rakyat.
Jelasnya, malah ia dapat diterjemahkan dalam PRK di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang secara terangan menolak calon bebas.
"Kalau kita lihat sebahagian besar mereka (calon bebas) kehilangan deposit dalam pilihan raya.
"Kita masih lagi yakin mood yang sama diterjemahkan juga dalam PRK di Pelangai," ujarnya.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.
Pada 17 Ogos lalu, Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi). - Sinar Harian