PN Selangor tiada pelawa KJ jadi calon PRN, MB - Zulkafperi

Sinar Harian
Februari 8, 2023 17:47 MYT
Khairy pada Isnin menyatakan minat untuk bertanding dalam PRN Selangor dan beberapa tawaran telah dibuat kepadanya termasuklah jawatan Menteri Besar sekiranya menang. - Fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor tidak membuat sebarang pelawaan kepada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menjadi calon dan ditawarkan jawatan Menteri Besar sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Zulkafperi Hanapi berkata, setakat ini tiada perbincangan diadakan pimpinan Bersatu Selangor dengan Khairy berhubung tawaran berkenaan.
"Saya tidak tahu sekiranya pimpinan atas beri tawaran (kepada Khairy) tetapi di peringkat (Bersatu) Selangor tiada pelawaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Bagaimanapun beliau berkata, Bersatu sentiasa mengamalkan konsep terbuka kepada mana-mana bekas pemimpin dan ahli UMNO atau Pakatan Harapan (PH) untuk bersama-sama menyertai parti itu.
Ujar beliau, penyertaan ahli dari dua parti itu diharap dapat memperkuatkan lagi Bersatu bagi memperjuangkan agenda penyatuan kaum Melayu di negara ini.
Jelas beliau, rakyat Selangor sudah matang dalam soal menentukan parti pilihan masing-masing dan yakin pengundi akan memberikan sokongan kepada PN untuk membentuk kerajaan di negeri ini.
"Kita yakin sekiranya orang Melayu bersatu padu dan memberi undi kepada PN, maka kerajaan negeri Selangor yang dipimpin PH pasti dapat ditumbangkan," katanya.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Pas Selangor mengesahkan tidak membuat sebarang tawaran kepada Khairy untuk menjadi calon dan ditawar jawatan Menteri Besar sekiranya memenangi PRN Selangor tahun ini.
Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, tiada sebarang perbincangan dan tawaran kepada Khairy menyertai Pas dilakukan setakat ini.
Khairy pada Isnin menyatakan minat untuk bertanding dalam PRN Selangor dan beberapa tawaran telah dibuat kepadanya termasuklah jawatan Menteri Besar sekiranya menang.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan parti politik mana yang menawarkan jawatan itu. -- Sinar Harian
#Khairy Jamaluddin #Perikatan Nasional #MB Selangor #PRN
;