PN sedang pertimbang permohonan parti lain untuk sertai mereka - Muhyiddin
Ridauddin Daud
November 28, 2020 15:08 MYT
November 28, 2020 15:08 MYT
KUALA LUMPUR : Perikatan Nasional (PN) sedang menimbang permohonan daripada parti politik lain yang berhasrat untuk menyertai gabungan itu dalam masa terdekat.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam usaha untuk memenangi pilihan raya, Bersatu tidak boleh bersendirian.
“Asasnya mudah. Kita tidak boleh bersendirian. Kita memerlukan rakan-rakan dari parti-parti politik yang lain untuk menghadapi pilihan raya dan membentuk kerajaan.
“Bersatu jika bertanding secara bersendirian, mungkin boleh menang kerusi, tetapi tidak mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden secara maya dalam persidangan itu.
Tambah beliau, ijtihad untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan membentuk PN bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibuat bahkan lebih sukar untuk dilaksanakan namun hakikatnya, ia membuka lembaran baharu buat parti
“Penubuhan PN adalah satu wawasan politik yang penting buat kita semua. It is an important political vision for all of us.
“PN yang menggabungkan Bersatu dan Pas dalam sebuah gabungan politik di peringkat nasional akan menjadi sumber kekuatan politik yang penting bagi orang Melayu dan masyarakat Islam di negara ini.
“Pada masa yang sama, kita juga mempunyai rakan politik dari parti STAR dan SAPP yang mewakili masyarakat Bumiputera dan Bukan Bumiputera di Sabah,” ujarnya.
Tegasnya lagi, penubuhan PN merupakan satu pencapaian penting dalam sejarah politik negara yang pastinya akan melakar banyak kejayaan dalam waktu mendatang.
#Muhyiddin Yassin
#PPBM
#presiden
#Perikatan Nasional
#PN
#PAS
#Pakatan Harapan
#Islam
#Bumiputera
#pilihan raya
#politik
#kerajaan
#Melayu