PN pilih bekas cikgu sebagai calon di PRK DUN Pelangai
Astro Awani
September 20, 2023 23:22 MYT
September 20, 2023 23:22 MYT
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menamakan seorang bekas tenaga pengajar, Kasim Samat sebagai calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada majlis pengumuman calon PN pada Rabu malam.
Menurut Tuan Ibrahim, Pas telah menerima tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai calon mewakili PN di PRK DUN Pelangai.
PRK itu diadakan berikutan kematian Datuk Seri Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas berhampiran bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu ini, manakala 7 Okt sebagai hari pengundian.
Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat, calon PH, Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang, Isa Ahmad.