PN, PH dalam dilema untuk lanjut atau tidak MoU kerjasama - Penganalisis

Israr Khalid
Mac 14, 2022 05:00 MYT
Awang Azman berkata, ketika ini hubungan antara PN dan PH dalam kerajaan masih baik, namun tidak dapat elak daripada terkena tempias daripada kemenangan BN di Johor tempoh hari. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta blok Pakatan Harapan (PH) dilihat seakan dalam pertimbangan rumit untuk menentukan sama ada untuk melanjutkan Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama antara mereka.
Kedua-duanya dalam dilema antara terus menghormati MoU yang telah disepakati sehingga tamat kontraknya Julai ini, desakan pimpinan parti untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum (PRU) serta sentimen semasa rakyat terhadap mereka.
Kata Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Awang Azman Awang Pawi, ketika ini hubungan antara PN dan PH dalam kerajaan masih baik, namun tidak dapat mengelak daripada terkena tempias daripada kemenangan Barisan Nasional (BN) di Johor tempoh hari.
“Kalau kita lihat sendiri masa PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor, PM sendiri tak aktif dalam berkempen untuk memenangkan BN, datang melawat beberapa tempat di akhir-akhir kempen atas nama lawatan rasmi kerajaan.
“Dalam konteks ini PM cuba memainkan peranan untuk dilihat neutral di kala kepanasan suhu politik di Johor, dan ini pastinya digemari oleh sekutu mereka seperti Pas dan bersatu, namun ini akan menyebabkan penyokong dan ahli UMNO atau BN kurang selesa,” katanya.
Pada masa sama kata beliau, PM juga dilihat cenderung untuk melanjutkan ikatan kerjasama di dalam kerajaan boleh jadi kerana beliau tidak mahu menjadi PM yang paling singkat tempoh memegang jawatan tersebut sekiranya PRU diawalkan.
Namun beliau juga terikat dengan reaksi dan keputusan Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) partinya UMNO, dan segalanya mungkin akan dibangkitkan dan ditentukan dalam Perhimpunan Agong UMNO yang akan diadakan 16 hingga 19 Mac ini.
“PH juga sebenarnya ada kesan sebab sudah ada sentimen dalam kalangan pengundi, malah sebilangan kecil penyokong PH sendiri yang antara lain menyatakan dalam media sosial misalnya “mengapa mereka perlu menyokong pembangkang sedangkan pembangkang menyokong kerajaan?”
“Ia seolah-olah berlapis, seolah-olah menggunakan orang tengah. Jadi lebih baik kita terus langsung menyokong kjaan drpd sokong pembangkang, kata mereka.”
Tonton temu bual penuh bersama Prof. Madya Awang Azman dengan hos Essan Yahya dalam program Agenda AWANI, di sini:
PN, PH dalam dilema lanjut atau tidak MoU kerjasama - Penganalisis
Agenda AWANI: Keputusan PRN Johor beri isyarat segera PRU15?
#PRN Johor #Johor Memilih #Perikatan Nasional #Pakatan Harapan
;