PN lantik Sanusi Ketua Pengarah Pilihan Raya - Hamzah
Fareez Azman
Mac 21, 2023 17:39 MYT
Mac 21, 2023 17:39 MYT
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) bersetuju melantik Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya gabungan itu.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan media pada Selasa.
"(Selain itu) Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional Negeri Sabah.; Datuk Mohd Radzi Jidin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan," jelasnya.
Turut diputuskan, pelantikan Mohamad Siddiq Mohd Azani dan Muhd Khidir Izaidin sebagai Penolong Setiausaha Eksekutif PN.
Mengenai persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) jelas Hamzah, PN bersetuju logo gabungan itu digunakan di Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor, manakala logo Pas digunakan di Kelantan dan Terengganu.