PN lakar sejarah adakan himpunan pemimpin, penyokong parti gabungan

Bernama
September 9, 2020 23:16 MYT
Buat julung kalinya bendera dan logo PN diperkenalkan kepada para penyokong gabungan parti berkenaan. -Bernama
Perikatan Nasional (PN) malam ini melakar sejarah apabila buat pertama kalinya mengadakan himpunan dihadiri oleh semua pemimpin utama dan para penyokong parti komponennya di Sabah.
Himpunan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, itu turut menyaksikan buat julung kalinya bendera dan logo PN diperkenalkan kepada para penyokong gabungan parti berkenaan.
Turut hadir Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Datuk Hajiji Noor, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim.
Berucap pada majlis itu, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata beliau kagum melihat penerimaan kehadiran ramai penyokong PN pada himpunan berkenaan yang sekali gus menunjukkan parti perikatan tersebut diterima baik oleh rakyat Sabah.
“Tidak ada parti (gabungan) di Sabah yang begitu baharu tetapi berjaya mengumpulkan seberapa ramai untuk bersama-sama berjuang. Pasukan kita adalah pasukan yang kuat. Kita bersama-sama menentukan negeri ini akan dipimpin oleh pasukan kita.
“Justeru, kita perlu bersatu dan bekerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah... kita perlu bersolidariti untuk bersama-sama ambil alih kerajaan Sabah,” katanya.
Sementara itu, Hajiji, ketika berucap, berkata beliau mahu semua pemimpin PN bersatu hati dan bekerjasama dalam mendepani PRN Sabah pada kali ini bagi memastikan perjuangan mengambil alih kerajaan Sabah berjaya.
"Apa yang penting, kita atur baik-baik agihan kerusi... kalau kita gaduh kita akan menghadapi masalah. Oleh itu, kita perlu ambil kesempatan ini untuk bersatu dalam PN. Kita tukar balik kerajaan negeri kerana kita mahu Sabah sehaluan dengan kerajaan persekutuan...kita mahu keselamatan Sabah terjamin," tegasnya.
Jeffrey dalam ucapannya pula memberi jaminan akan terus menyokong dan berdiri teguh dalam PN.
"Saya berdiri di sini hari ini kerana menyokong PN. Kadangkala saya ‘bising’ kerana saya ingin menyatakan luahkan hati rakyat dan pertama kalinya saya percaya kepimpinan di Kuala Lumpur yang diterajui PN adalah adil dan menghormati hak rakyat Sabah, sebab itu saya sokong PN.
"Dalam PRN Sabah kali ini kita perlu lawan secara berpasukan. Oleh itu pasukan kita perlu kuat seiring menentang lawan...saya yakin kerajaan di bawah PN akan disokong oleh rakyat dan akan menang dalam PRN Sabah pada 26 Sept ini," tambahnya.
Sementara itu, Yong berkata PN akan membawa harapan baharu kepada rakyat Malaysia di Sabah.
-- BERNAMA
#bendera #Bersatu #BN #Hamzah Zainuddin #kerajaan #keselamatan #logo #Pakatan Nasional #PAS #PBS #PN #presiden #Takiyuddin Hassan #UMNO
;