PN kemuka nama calon MB dalam masa terdekat - Muhyiddin
Bernama
Ogos 12, 2023 07:30 MYT
Ogos 12, 2023 07:30 MYT
SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan nama calon Menteri Besar baharu di ketiga-tiga negeri yang dimenangi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dalam masa terdekat.
Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini bagi mendapatkan perkenan daripada Sultan di negeri terbabit iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
"Kalau sekiranya nama-nama itu telah diperkenankan maka upacara angkat sumpah akan ditetapkan, mungkin dalam tempoh beberapa hari akan datang," katanya pada sidang media di sini.
Turut hadir Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai serta kepimpinan tertinggi gabungan itu.
Pada PRN kali ini, PN menang di Kelantan, Terengganu dan Kedah selain kerusi Parlimen Kuala Terengganu serta 11 kerusi Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang, 22 di Selangor dan lima di Negeri Sembilan. - BERNAMA