PN gabungan praktikal dan stabil - Saifuddin
Bernama
Ogos 22, 2020 04:41 MYT
Ogos 22, 2020 04:41 MYT
Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai satu gabungan yang praktikal dan stabil dalam menyantuni kepentingan rakyat.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata PN dibentuk daripada pelbagai komponen dan latar belakang yang meraikan kepelbagaian agama, bangsa dan negara yang wujud di Malaysia.
"Perjuangan kita bukannya bermula dengan tiba-tiba, sebab itu apabila kita sebut membina gandingan besar, kita tahu ada sejarah pembinaan gabungan politik di negara tercinta ini.
"Dan kerana kita ingin menumpukan perjuangan yang panjang, nak ambil kira peranan semua pihak, sama ada yang dulu atau baharu, yang awal bersama atau baru bersama, yang sealiran penuh atau sealiran separuh, kita berlapang dada, berjiwa besar.
"Kita ingin membantu mengoptimum semua yang ingin bersama berbakti kepada rakyat," katanya ketika berucap pada acara Kongres Negara di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang juga penaung Penggerak Komuniti Negara berkata keputusan untuk menyertai Bersatu dilakukan bagi membantu supaya parti itu mempunyai komponen Ahli Parlimen yang besar.
"Kita harus memilih satu wadah politik untuk masuk gelanggang untuk bantu Bersatu. Kita atas satu landasan yang betul mempunyai wadah politik yang sama. Jadi kita bersetuju bersama Bersatu.
"Kami akan pastikan perjuangan tak sia-sia. Masa depan politik amat harapkan penerimaan pemimpin bukan berdasarkan kaum tetapi kebolehan dan bersama, berkemahiran menyantuni rakyat," katanya.
Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menyifatkan penyertaan mereka dalam Bersatu sebagai golongan yang akan membawa pembaharuan dan pembersihan.
-- BERNAMA
#ahli Parlimen
#Bersatu
#gabungan
#kepentingan rakyat
#Kongres Negara
#Menteri Komunikasi dan Multimedia
#pembaharuan
#pembersihan
#Penggerak Komuniti Negara
#Perikatan Nasional
#praktikal
#rakyat
#Saifuddin Abdullah
#stabil
#Zuraida Kamaruddin