SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) tidak perlu menjadikan sentimen perkauman dan agama sebagai modal memenangi hati rakyat terutama ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata perkara lebih penting yang perlu diberi keutamaan adalah pembelaan dan menjaga kebajikan masyarakat pelbagai kaum termasuk di Negeri Sembilan.

"Perkara yang jadi isu ialah penerimaan masyarakat Melayu kepada kerjasama antara UMNO dan DAP, itu yang selalu mereka mainkan..Saya yakin apa yang dibawa PN ini hanya berasaskan kepada sentimen itu, saya tak rasa rakyat di Negeri Sembilan boleh menerima penawaran seumpama itu.

"Kita tidak boleh ada mana-mana parti yang begitu fanatik kepada sesuatu kaum, negara mesti diurus tadbir masyarakat berbilang kaum dan agama, itu menjadi corak pemerintahan sejak berdekad lagi," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata senarai calon mewakili UMNO di negeri itu pada PRN sedang diteliti dengan setiap DUN mengemukakan sekurang-kurangnya tiga atau empat calon sebelum ia diputuskan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak lama lagi.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dijangka menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi laluan kepada PRN.

Turut mengadakan PRN ialah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

-- BERNAMA