PN boleh diperkasakan lagi menerusi muafakat lebih tersusun - Annuar Musa

Astro Awani
Oktober 14, 2020 00:56 MYT
ANNUAR: Jangan emosi mendorong kita untuk tidak memikirkan keburukan yang boleh menimpa rakyat dan negara kita. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diperkasakan lagi menerusi muafakat yang lebih tersusun, lebih bersefahaman, jika ia menyemak kedudukannya dari semasa ke semasa.
Tegas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa, tidak salah untuk UMNO, Bersatu dan Pas kembali berbincang mengenai kerjasama politik agar dapat melakar sesuatu yang lebih baik untuk Malaysia.
"Untuk itu kita perlu tenang, banyak berfikir dan bijak bertindak.
"Jangan emosi mendorong kita untuk tidak memikirkan keburukan yang boleh menimpa rakyat dan negara kita," kata Ahli Parlimen Ketereh itu dalam satu kenyataan pada Rabu.
Berhubung isu pertimbangan dari UMNO untuk menarik diri dari menyokong PN, katanya mungkin ada asas tertentu yang menyebabkan parti itu mahu mengkaji semula kedudukannya dalam kerajaan.
"UMNO dan BN berhak menyemak kedudukannya dari semasa ke semasa dan tidak mustahil melalui semakan itu kerjajaan PN itu boleh diperkasakan lagi menerusi muafakat yang lebih tersusun, lebih bersefahaman.
"Kita perlu stabilkan politik negara. Kita juga perlu perkuatkan perpaduan Melayu,iaitu asas kestabilan politik negara. UMNO, Pas, Bersatu sama-sama bertanggungjawab mewujudkan perpaduan tersebut," ujarnya lagi.
Beliau juga berpandangan, kebijaksanaan adalah perlu dalam semua tindakan yang dibuat serta mendahulukan kepentingan rakyat.
#Annuar Musa #Perikatan Nasional #PN #Barisan Nasional #BN #UMNO #Bersatu #Muafakat #PAS #Ahli Parlimen Ketereh
;