PN bincang segera pembahagian kerusi, tidak tunggu pendirian UMNO - Muhyiddin
Ridauddin Daud
September 30, 2021 20:05 MYT
September 30, 2021 20:05 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan mula membincangkan pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melibatkan gabungan itu bermula minggu depan.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembahagian itu melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Nasional (Gerakan) serta parti komponen lain.
Begitupun, ketika ditanya pembahagian kerusi dengan UMNO, Muhyiddin menegaskan masih belum ada hala tuju jelas melibatkan UMNO dan pihaknya membuat keputusan bagi pihak PN terlebih dahulu.
"Belum ada kenyataan jelas dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya rundingan kerusi itu dibuat antara kita dan parti-parti PN.
"Kita akan rundingi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita akan agihkan antara Bersatu, Pas, Gerakan, Star dan SAPP. Itu keputusan yang telah kita buat kerana kita jangka pilihan raya mungkin pada tahun depan.
"Tempoh masa tak lama. Jadi kalau nak tunggu parti lain buat keputusan dan pendirian, ini akan ganggu persiapan yang akan diatur kita," katanya pada sidang media selepas mepengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Khamis.
Tambah beliau, PN masih lagu belum mendapat gambaran berhubung pendirian UMNO untuk bersama mereka atau bergerak sendirian.
"Walaupun dalam kerajaan kita bersama malah kita ada majoriti tapi kita tak dapat indikator daripada UMNO sama ada nak sambung (kerjasama) atau tidak lagi bersama.
"Kita akan buat keputusan yang kita rasa penting untuk kita putuskan," ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata Majlis Tertinggi PN juga menetapkan majlis pelancaran rasmi parti PN peringkat kebangsaan akan diadakan pada November 2021.
"PN Negeri Selangor akan menjadi tuan rumah. Diputuskan juga Saiful Adli Mohd Arshad dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif parti berkuat kuasa 1 Oktober 2021," ujarnya.
#Perikatan Nasional
#PN
#Majlis Tertinggi PN
#PRU15
#pilihan raya umum
#Muhyiddin Yassin
#UMNO
#pembahagian kerusi
#Bersatu
#PAS
#GERAKAN
#Barisan Nasional